Setiap Hari Telan Hingga 90 Biji Ubat, Ibu Dua Anak Berdepan Lapan Penyakit Serentak

Allahuakbar, kesiannya.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bagi sesetengah orang, makan ubat mungkin sekadar rutin harian

Namun bagi Nur Fathirrah Hairuddin, 32, ia menjadi sebahagian daripada kehidupannya apabila terpaksa mengambil sehingga 90 biji ubat setiap hari bagi mengawal lapan penyakit yang dihidapinya.

Menurut laporan Harian Metro, ibu kepada dua cahaya mata itu menghidap lupus eritematosus sistemik (SLE), barah otak tahap tiga, masalah hati dan jantung, usus bocor, keresahan, bipolar serta gangguan depresi utama (MDD).

Lebih memilukan, dia kini masih menjalani rawatan selepas perlu melalui lima sesi radioterapi dan melengkapkan 15 sesi kemoterapi.

SAYS.com
Image via Harian Metro

Menurut Nur Fathirrah, semuanya bermula apabila penyakit SLE yang dikesan ketika remaja kembali aktif kira-kira dua tahun lalu.

Keadaan itu kemudiannya mula menjejaskan organ lain apabila hatinya membengkak sebelum doktor mengesan saluran darah jantungnya tersumbat.

Tidak cukup dengan itu, dia turut mengalami masalah usus sehingga tidak lagi mampu menerima makanan dan minuman seperti biasa

Sakit kepala yang berterusan pula pada awalnya disangka berkait dengan masalah keresahan, bipolar dan MDD yang dialaminya.

"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa makan 12 biji ubat tahan sakit kerana tidak mampu menahan kesakitan. Malangnya sakit kepala tidak berkurangan.

Selepas menjalani MRI, saya didiagnosis menghidap barah otak tahap tiga,"
katanya.

Lebih merisaukan, doktor memaklumkan sel barah di otaknya sangat aktif.

Kini, Nur Fathirrah perlu berulang-alik ke hospital di Ipoh seminggu sekali untuk mendapatkan pemeriksaan pakar neurologi, selain rawatan dan pemeriksaan lain di Hospital Taiping

Ada kalanya, rutin rawatan itu menyebabkan dia terpaksa menghabiskan hampir sehari di hospital.

Dalam tempoh dua tahun berdepan pelbagai penyakit serentak, keupayaan fizikalnya juga semakin terhad.

Nur Fathirrah berkata, dia boleh pengsan sehingga tiga atau empat kali sehari, terutama ketika cuaca terlalu panas atau tekanan darahnya rendah.

Lebih menyentuh hati, anaknya yang berusia enam tahun terpaksa menghubungi suami atau datuknya setiap kali dia pengsan bagi mendapatkan bantuan.

Kehidupannya juga jauh berubah berbanding dahulu apabila kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah kerana mudah letih dan perlu menjalani rawatan berterusan

Malah, akibat SLE yang menjejaskan sendi, tubuhnya sering membengkak terutama selepas bangun tidur sehingga pergerakannya menjadi terbatas.

Sejak kira-kira enam bulan lalu, dia terpaksa tidur dalam keadaan duduk kerana setiap kali berbaring, tulang belakangnya akan terasa sangat sakit.

Dalam melalui semua ujian itu, suami menjadi individu paling banyak membantu termasuk menguruskan rumah serta memastikan keperluan anak-anak mereka terjaga. Ibu dan ayahnya juga akan datang membantu sekiranya emosinya tidak stabil.

Namun, Nur Fathirrah mengakui ada waktunya dia berasa terlalu penat untuk terus menghadapi segala-galanya.

"Kerana perlu melalui proses rawatan yang panjang, keadaan kesihatan tidak menentu dan beban kewangan, ada kalanya saya berasa terlalu penat, malah mahu mengalah," katanya.

Bagi Nur Fathirrah, berada dalam lingkungan positif dan dikelilingi individu yang memahami keadaannya amat penting supaya dia tidak berasa keseorangan.

Perkongsian mengenai kisah kesihatannya di media sosial juga bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya menjadi ruang untuk meluahkan beban yang terlalu berat jika dipendam seorang diri.

"Saya akan terus bertahan demi keluarga. Saya juga berharap orang ramai memahami bahawa setiap pesakit berdepan perjuangan yang mungkin tidak kelihatan pada mata kasar," katanya lagi.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: