"Keadaan Makin Pulih" - Lelaki 280KG Ini Kini Nekad Mahu Turunkan Semula Berat Badan
Dia juga diberi panduan menu makanan diet yang sihat oleh doktor.
Masalah berat badan berlebihan, obesiti atau gemuk berlebihan ini bukanlah keadaan yang kita dapat elakkan
Ia berlaku kepada semua orang tanpa mengira jantina, bangsa dan warna kulit malahan kanak-kanak juga mengalaminya.
Berat badan anda bertambah apabila anda makan banyak, lebih daripada apa yang boleh dibakar oleh badan anda. Kalori yang lebih ini akan disimpan sebagai lemak.
Berlebihan berat badan dan kegemukan/obesiti akibat daripada pengambilan kalori yang berlebihan tidak akan berlaku dalam beberapa hari atau minggu. Selalunya ia akan terkumpul dan tersimpan selama beberapa bulan dan tahun.
Hal ini terjadi kepada seorang lelaki berusia 26 tahun yang dilabel sebagai lelaki paling gemuk di Wuhan, China
Berat badannya bertambah sebanyak 100 kilogram (KG) setelah lima bulan berada di rumah kerana pelaksanaan perintah berkurung akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Zhou, antara penduduk yang dikenakan perintah berkurung sebaik virus itu tercetus di Wuhan.
Portal Oddity Central melaporkan sebelum perintah berkurung, Zhou menjaga berat badannya walaupun bekerja di kafe tempatan dan menjalani gaya hidup yang agak normal.
Tetapi, semua itu berubah selepas Zhou mula menghabiskan sebahagian besar waktunya di dalam rumah.
Namun selepas kerajaan melaksanakan perintah berkurung, dia telah mengambil makanan berlebihan. Malah, kurang bersenam juga antara faktor Zhou mengalami obesiti.
Dalam tempoh beberapa bulan saja, berat badannya bertambah secara mendadak sehingga mencecah 280KG
Kes mengejutkan itu didedahkan salah seorang doktor yang merawatnya di Hospital Pusat Selatan Universiti Wuhan sebaik dia dimasukkan ke hospital pada 1 Jun lalu.
Zhou memberitahu kepada doktor, dia tidak meninggalkan rumahnya sejak Januari.
Berat badannya membuatnya tidak dapat tidur dengan selesa sebelum terpaksa mendapatkan bantuan perubatan.
"Doktor, saya tidak dapat tidur selama 48 jam. Ia menjadi sangat tidak selesa. Boleh kamu bantu saya?" Zhou didakwa bertanya kepada Dr Li Zhen di Hospital Pusat Selatan Universiti Wuhan.
Ketika itu, dia sudah menghubungi doktor lain tetapi mereka enggan membantunya kerana berat badannya yang terlampau berat.
Pasukan paramedik bertungkus-lumus mengeluarkan Zhou dari rumahnya untuk dibawa menaiki ambulans, seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)
Ujian awal menunjukkan pelbagai gejala, seperti kegagalan jantung dan masalah pernafasan.
Malangnya, beratnya menyukarkan doktor untuk melakukan ujian lain seperti tekanan darah dan elektroensefalogram (EEG).
Namun begitu, keadaan Zhou kini semakin baik selepas 10 hari doktor berusaha menstabilkan kesihatannya
Zhou juga diberikan panduan menu makanan diet yang sihat oleh doktor serta dijangka akan menurunkan berat badannya sebanyak 25KG dalam masa dua bulan akan datang.
Dr Li Zhen mengatakan kegemukan Zhou disebabkan oleh faktor genetik dan endokrin apabila ketidakaktifannya dan peningkatan pengambilan kalori selama lima bulan di Wuhan.
Semoga kes seperti ini dapat dijadikan iktibar untuk kita semua. Sama-samalah kita jaga kesihatan diri dan selalu bersenam ya! Ok?