seismik

[TERKINI] Kes Bunuh Zulfarhan: 18 Penuntut UPNM Akhirnya Didapati Bersalah Oleh Mahkamah

Enam daripadanya didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh arwah.

Cover image via Sinar Harian & Bernama

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Seramai 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain

Image via Berita Harian

Menurut laporan, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan itu pada Selasa berkata, enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh arwah.

Enam tertuduh ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mahkamah mendapati 12 yang lain bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba.

Mereka iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan

Image via Sinar Harian

Pada 30 September lalu, mahkamah selesai mendengar kesemua hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan kes yang bermula 29 Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah) antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Sementara itu, pada prosiding bela diri yang bermula 2 Oktober 2019, pembelaan mengemukakan seramai 20 saksi iaitu, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan, penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni, termasuk kesemua 18 tertuduh.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin berdepan tuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 dan 5.45 pagi 22 Mei 2017, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem berdepan pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama dengan 12 lagi turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

Image via Berita Harian

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan

Semua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi.

Pasukan peguam bela terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik: