Vivy Yusof, Suami Mengaku Tak Bersalah Pecah Amanah Dana Pelaburan Khazanah & PNB RM8 Juta
Vivy dan Fadzaruddin masing-masing dibenarkan dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin bersama-sama syarat tambahan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta enam tahun lalu
Menurut laporan Harian Metro, kedua-dua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd (FV) dan di dalam kapasiti itu diamanahkan dengan harta iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana pelaburan itu di mana dengan curangnya membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FV kepada syarikat, 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat itu.
Difahamkan, kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Plaza Damansara Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan RM100,000 hingga RM200,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
"Pendakwaan juga mohon syarat tambahan supaya pasangan ini menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan," katanya.
Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili suami isteri terbabit iaitu Ashok Athimulan memohon jaminan munasabah berikutan kedua-dua anak guam menetap di Kuala Lumpur.
"Kami memohon jaminan rendah juga memandangkan semua aset mereka sudah dibekukan dan kini bergantung kewangan daripada rakan dan ahli keluarga untuk membayar wang jaminan," katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Rosli membenarkan Vivy dan Fadzaruddin masing-masing dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari depan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!