Ini Sebab Kenapa 'Hari Nakbah Palestin' Diingati Sebagai Malapetaka Besar Buat Umat Islam
Detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
15 Mei merupakan tarikh bersejarah bagi umat Islam khususnya bagi penduduk Palestin
Image via Ammar Awad/Reuters
Hari Nakbah merupakan hari yang diisytiharkan rakyat Palestin sebagai malapetaka besar sehari selepas negara haram Israel diisytiharkan secara rasminya pada 14 Mei 1948 dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mereka mendakwa telah memenangi peperangan padahal hakikatnya hanyalah menjajah negara Palestin dan perkara ini turut diraikan oleh Zionis 'laknatullah' sebagai hari kemenangan bagi mereka.
Pada tarikh ini, tercatat dalam sejarah ratusan ribu penduduk Palestin diusir dari tanah air mereka sendiri dan berlindung di sekitar negara terdekat seperti Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.
Tragedi ini menyaksikan ratusan ribu nyawa terkorban, rumah-rumah dirobohkan, harta rakyat dirampas, kenderaan awam dimusnahkan serta pelbagai lagi kekejaman yang meragut hak asasi sebagai rakyat Palestin di bumi sendiri.
Sudah lama mengimpikan sebuah negara bagi tujuan membela bangsa Yahudi yang tertindas
Terutamanya yang berada di Eropah Timur kerana mereka sering dianggap bangsa kelas bawahan. Mereka tidak diberi muka oleh bangsa Eropah yang menganut Kristian, malah sering diperlakukan sebagai hamba.
Menurut sumber, kemuncak apa dilalui Yahudi adalah apabila mereka dibunuh beramai-ramai oleh Nazi Jerman yang diketuai Hitler. Peristiwa yang dikenali sebagai 'Holocaust' itu, menjadi titik sangat hitam buat mereka.
Sebahagian sejarawan menyatakan jumlah yang dibunuh mencecah 6 juta, namun angka sebenar tidak dapat dipastikan dengan tepat.
Usaha mendirikan negara bagi Yahudi itu jelas dinyatakan pada 1897, apabila Pertubuhan Zionis Antarabangsa ditubuhkan. Di bawah pimpinan presidennya yang pertama, Theodor Herzl, mereka merencana penubuhan berkenaan ketika mengadakan persidangan di Basel.
Walaupun terdapat agamawan Yahudi atau rabbi tidak bersetuju dengan hasrat penubuhan negara bagi Yahudi, pertubuhan Zionis terus bekerja untuk mendapatkannya. Usaha melobi dilakukan dengan hebat, terutama di England yang ketika itu kuasa besar berpengaruh.
Image via Al-Hijrah Online
Deklarasi Balfour menjadi punca kuasa kepada Yahudi untuk mencapai impian mereka
Sarjana Yahudi di Manchester, Chaim Wizmann mengetuai kumpulan pelobi di England hingga British mengeluarkan kenyataan jelas menyokong mereka, iaitu Deklarasi Balfour pada 2 November 1917.
Deklarasi itu ditujukan kepada Lord Rostchild yang juga pemimpin Yahudi di England. Dalam deklarasi ini, terdapat frasa begitu jelas tujuannya: 'Kerajaan Tuanku berpihak kepada (menyokong) penubuhan di Palestin sebuah rumah (negara) bagi golongan Yahudi.'
Ketika Deklarasi Balfour dikeluarkan, Holocaust belum berlaku. Namun, kebencian terhadap Yahudi berada pada tahap tinggi. Mereka dianggap bangsa tidak boleh dipercayai oleh masyarakat Eropah.
Image via Al-Hijrah Online
Apabila berlaku Holocaust, ia seolah-olah dijadikan alasan menyegerakan penubuhan negara untuk Yahudi. Mereka digalakkan berpindah ke Palestin melalui kempen. Sehinggalah apabila Israel ditubuhkan, terdapat undang-undang diperkenalkan, iaitu The Law of Return bagi menjamin semua Yahudi untuk mendapatkan hak kembali ke Israel.
Jika dilihat, Deklarasi Balfour itu menjadi seakan-akan punca kuasa kepada Yahudi untuk mencapai impian mereka. Setelah 21 tahun deklarasi dikeluarkan, akhirnya hasrat tercapai dengan bantuan British.
British mentadbir Palestin di bawah apa dikenali sebagai Mandat British. Sehari sebelum mandat itu tamat, Yahudi mengisytiharkan penubuhan Israel.
Secara rasminya konflik antara Arab-Israel itu bermula dari detik berkenaan
Image via The New Arab
Negara Arab yang berjiran seperti Mesir, Syria, Iraq, Jordan dan Arab Saudi cuba melancarkan serangan terhadap Israel yang baru ditubuhkan pada 1948, tetapi penentangan tidak berjaya.
Berlaku beberapa siri penentangan selepas itu, termasuk apa dikenali sebagai Perang Enam Hari pada 1967. Bagaimanapun, ia tidak berjaya.
Ini membuka satu ruang kepada kuasa besar dunia, iaitu Amerika Syarikat (AS) untuk mempelopori apa dikenali sebagai Perjanjian Damai antara Arab-Israel, iaitu cubaan menyelesaikan isu antara Palestin dengan Israel. Hakikatnya, ia masih belum berjaya hingga ke hari ini kerana pelbagai faktor.
Bahkan hari ini ada antara negara Arab dan negara umat Islam cuba melakukan hubungan normalisasi dengan Israel. Tindakan ini tidak dapat diterima rakyat Palestin kerana ia pasti menggadai prinsip mencari pembelaan terhadap tanah air mereka yang dirampas itu.
Terdapat dalam kalangan mereka yang masih menyimpan anak kunci rumah yang terpaksa mereka tinggalkan pada 1948 setelah terpaksa berbuat demikian.
Mereka tiada pilihan kecuali keluar mencari perlindungan di negara jiran. Namun, semangat mereka untuk kembali sangat kental dan kuat.
Pernah melancarkan Perarakan Pulang Besar-besaran pada 2018 sebagai simbolik untuk pulang ke tanah air yang dirampas Israel
Image via AFP
Begitupun, perarakan itu tidak sama sekali menjejaskan Israel secara fizikal kerana Israel membina pagar dan tembok tinggi memisahkan Palestin dengan Israel.
Walaupun perarakan mereka tidak bersenjata, ia memberikan kesan psikologi ketakutan kepada Israel. Sebagai tindak balas, pasukan pertahanan mereka menggunakan peluru hidup untuk membedil dan menyuraikan perhimpunan rakyat Palestin itu.
Oleh itu, walaupun setiap tahun Israel meraikan hari penubuhan negara mereka pada 14 Mei, rakyat Palestin menggelarkannya sebagai hari tragedi. Maka pada 15 Mei setiap tahun, ia dijadikan hari memperingati tragedi itu yang lebih dikenali dengan Hari Nakbah.
Bermula 2018, Hari Nakbah ini bertambah sedih dengan tindakan dan sikap AS yang secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Tindakan dibuat dengan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis bukan sahaja dilihat sebagai sokongan terpadu buat Israel bahkan ia tindakan membelakangi prinsip kemanusiaan dan dikecam masyarakat antarabangsa.
Pun begitu, rakyat Palestin tetap bersemangat membela tanah air mereka. Hari Nakbah bukan untuk bersedih, tetapi mendapatkan pembelaan dunia dan persediaan kepada kemenangan yang pasti akan datang buat mereka.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:
Leave a comment