KPM Umum Jadual Matriks Pembelajaran Tahun 4 2026, Bermula 6 Hingga 8 Oktober Ini
Pentaksiran ini merangkumi pelbagai subjek teras mengikut jenis sekolah masing-masing.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Lembaga Peperiksaan telah mengeluarkannya secara rasmi Jadual Waktu Matriks Pembelajaran Tahun 4 Bagi Tahun 2026
Jadual ini memperincikan pentaksiran yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 6 Oktober hingga 8 Oktober 2026.
Sesi pentaksiran dijadualkan berlangsung dalam dua selang masa utama, iaitu 8.15 pagi hingga 9.30 pagi bagi sesi pertama dan 11 pagi hingga 12.15 tengah hari bagi sesi kedua. Pentaksiran ini merangkumi pelbagai subjek teras mengikut jenis sekolah masing-masing.

Berdasarkan jadual yang diterbitkan, subjek Bahasa Melayu akan mendahului peperiksaan pada sesi pagi Selasa, 6 Oktober 2026, diikuti oleh subjek Bahasa Inggeris pada sebelah tengah hari.
Pada hari Rabu, 7 Oktober 2026, murid akan menduduki ujian Matematik (SK/SJKC/SJKT/DLP) pada sesi pagi dan Sains (SK/SJKC/SJKT/DLP) pada sesi tengah hari.
Hari terakhir iaitu Khamis, 8 Oktober 2026 pula diperuntukkan khusus bagi ujian Bahasa Cina dan Bahasa Tamil pada sesi pagi.
Pihak Lembaga Peperiksaan turut memperincikan beberapa maklumat tambahan berkaitan pelaksanaan pentaksiran ini
- Tempoh Pentaksiran: Setiap kertas pentaksiran diperuntukkan masa selama 1 jam 15 minit.
- Pengisian Butiran: Murid diberikan tempoh 10 minit khas untuk mengisikan butiran maklumat peribadi.
- Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK): Diberikan tambahan masa 30 minit bagi melengkapkan pentaksiran.
Untuk rekod, KPM memperkenalkan Matriks Pembelajaran Tahun 4 sebagai satu langkah pentaksiran baharu yang bakal melibatkan kira-kira 400,000 murid di seluruh negara.
Pelaksanaan ini bertujuan membantu guru mengenal pasti tahap penguasaan, kekuatan, serta kelemahan murid selepas mengikuti pembelajaran dari Tahun 1 hingga Tahun 4, sekali gus merancang strategi intervensi yang lebih berkesan.

Bagi meredakan kebimbangan ibu bapa, KPM menyusun pelaksanaan pentaksiran ini dengan kawalan kualiti yang ketat serta memberi kepastian mengenai hala tuju keputusan:
- Sistem Pemarkahan & Kawalan Kualiti: Skrip jawapan akan diperiksa oleh guru mata pelajaran masing-masing berpandukan skema pemarkahan berpusat yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP). Proses ini turut melalui fasa moderasi dan verifikasi bagi menjamin penilaian yang seragam dan adil di semua sekolah.
- Bukan Syarat Kemasukan SBP / MRSM: KPM mengesahkan secara muktamad bahawa keputusan Pentaksiran Matriks Pembelajaran bukan merupakan syarat kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), MARA Junior Science College (MRSM), atau sekolah khusus yang lain.
- Format Penggredan: Dikendalikan secara berpusat menggunakan kertas soalan seragam serta sistem penggredan yang menyerupai Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Ibu bapa dinasihatkan agar tidak panik atau memberikan tekanan berlebihan kepada anak-anak. Ujian ini direka untuk membantu perkembangan akademik murid secara inklusif menerusi sokongan guru dan galakan ulang kaji secara berterusan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via