130 Rakyat Malaysia Ditahan Dalam Serbuan Pusat Scam Di Pakistan, Dipercayai Tipu Rakyat Sendiri

Premis itu dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan kewangan terhadap rakyat Malaysia.

Cover ImageCover image via NST & Harian Metro

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seramai 130 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan pihak berkuasa Pakistan selepas sebuah pusat penipuan dalam talian yang dipercayai menyasarkan rakyat Malaysia diserbu di Rawalpindi, baru-baru ini

Menurut laporan Harian Metro, operasi oleh Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan Pakistan (NCCIA) itu dijalankan di sebuah premis di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, selepas pihak berkuasa memperoleh waran mahkamah.

Hasil pemeriksaan terhadap peranti digital dan peralatan di lokasi berkenaan mendapati premis itu dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan kewangan terhadap rakyat Malaysia.

SAYS.com
Image via NST

Difahamkan, sindiket terbabit menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank sebelum menghubungi mangsa menerusi aplikasi panggilan internet.

Mangsa kemudian diberitahu kononnya terdapat transaksi mencurigakan atau tidak dibenarkan dalam akaun bank mereka sebelum panggilan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis Malaysia.

Lebih membimbangkan, sebahagian suspek didakwa memakai pakaian seragam polis serta menggunakan latar belakang menyerupai pejabat ketika membuat panggilan video bagi meyakinkan mangsa

Mereka kemudian mengugut mangsa dengan dakwaan terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan jenayah sebelum mendesak wang dipindahkan.

Wang hasil penipuan dipercayai diterima melalui Touch 'n Go eWallet sebelum ditukar kepada mata wang kripto menerusi beberapa saluran.

Siasatan turut mendapati operasi sindiket itu dipercayai dikendalikan seorang rakyat Malaysia dari Kemboja dengan bantuan penyelia dan pengurus pusat panggilan di Pakistan.

Seorang warga China yang dipercayai menerima mata wang kripto daripada sindiket sebelum menukarkannya kepada mata wang Pakistan turut dikenal pasti dalam siasatan.

Kesemua 130 individu yang ditahan merupakan rakyat Malaysia dan butiran pasport mereka telah disenaraikan dalam laporan polis

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Harian MetroImage via

Sebahagian daripada mereka turut dilaporkan mempunyai visa tamat tempoh atau disyaki berada di Pakistan tanpa dokumen imigresen yang sah.

Bagaimanapun, status imigresen serta peranan sebenar setiap individu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kes berkenaan disiasat mengikut beberapa peruntukan Akta Pencegahan Jenayah Elektronik Pakistan 2016 yang dipinda pada 2025, selain Kanun Keseksaan negara itu berkaitan penipuan, pemerasan, penyamaran dan persubahatan.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat penglibatan individu yang mengendalikan operasi dari luar negara serta pihak yang menguruskan transaksi kewangan sindiket berkenaan.

Jumlah kerugian mangsa, bilangan mangsa yang dikenal pasti dan nilai wang yang dirampas dalam serbuan itu masih belum didedahkan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS