3 Jun Ini Diwartakan Cuti Umum Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong Ke-17
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pula akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Umum sedia maklum, tarikh 3 Jun ini telah diwartakan sebagai cuti umum sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim
Menurut laporan Malaysiakini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, Seri Paduka telah memperkenan acara-acara sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda pada tahun ini ditangguhkan dari Jun ke September.
“(Penangguhan ini) bagi memberi keutamaan kepada istiadat pertabalan dan acara-acara lain sempena istiadat pertabalan yang akan berlangsung pada Julai nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 baru-baru ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rozainor Ramli mengumumkan pelantikan Fahmi sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.
Fahmi berkata Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pada 3 Jun 2024 dan tarikh itu telah diwartakan sebagai cuti umum.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini
Jelas Fahmi lagi, istiadat pertabalan itu akan diadakan pada jam 10 pagi dengan penuh simbolik dan adat istiadat Raja-raja Melayu di Istana Negara.
Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan adalah seperti berikut:
Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada Khamis, 18 Julai, 5.30 petang, di Masjid Negara, Kuala Lumpur;
Khutbah Khas dan Solat Jumaat pada Jumaat 19 Julai, 1.15 tengah hari, di Masjid Negara;
Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu, 20 Julai, 10 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur;
Majlis Santapan Diraja pada Sabtu, 20 Julai, 8.30 malam, di Istana Negara;
Lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Hospital pada Selasa, 23 Julai, 9.30 pagi, di Hospital Orang Asli Gombak;
Pameran Raja Kita pada Khamis, 25 Julai 11 pagi, di Muzium Negara; dan
Majlis Jamuan Teh Diraja pada Sabtu, 27 Julai, 3 petang, di Istana Negara.
Untuk rekod, Sultan Ibrahim, 66, telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!