10 Jururawat Wad Diraja HSA 'Terima' Kereta Myvi Daripada Sultan Johor. Daulat Tuanku!
Alhamdullilah, semoga Allah lanjutkan usia Tuanku.
Umum sedia maklum, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sememangnya dikenali sebagai seorang sultan yang sangat berjiwa rakyat dan sering mengambil berat tentang kebajikan rakyat
Jadi tidak hairanlah jika baginda antara sultan yang sangat disenangi rakyat. Ianya terbukti apabila menerusi satu posting terbaru yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim hari ini berkongsikan perkhabaran gembira apabila berkenan mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Pengurniaan 10 unit Myvi berwarna biru itu adalah bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat para jururawat kepada baginda dan keluarga diraja Johor
Sementara itu, penyelia jururawat, Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.
"Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.
"Besar sungguh nilainya kepada kami semua dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan baginda serta keluarga," katanya.
Dalam pada itu, turut berkongsi kesyukuran adalah Nuraini Aziz, 28, yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak pada tiga hari yang lalu.
"Saya bersyukur kerana dapat hadir kerana ini adalah satu kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sultan Johor dan keluarga diraja Johor," katanya.
Kesemua kereta Myvi itu telah diserahkan dalam satu majlis yang diadakan di Larkin, Johor Bahru.