Pakej Melancong Istimewa Buat Penjawat Awam, Tourism Malaysia Tawar Diskaun Sehingga 60%!
Tempoh tempahan pakej hanya sehingga 30 September 2020 manakala tempoh sah lawatan ialah sehingga 31 Disember 2020.
Tourism Malaysia telah melancarkan pakej istimewa sempena kempen Cuti-Cuti Malaysia khas untuk penjawat awam bermula semalam
Menurut sumber, kempen itu juga dengan kerjasama Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM) dan kolaborasi bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Pelancaran pakej ini merupakan inisiatif jangka masa pendek untuk meningkatkan usaha promosi pelancongan domestik di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Kempen ini juga berperanan sebagai salah satu ‘teaser’ yang diusahakan oleh MOTAC melalui Tourism Malaysia dalam usaha mempergiatkan lagi promosi yang dijalankan untuk menarik seberapa ramai penjawat awam melancong dalam negara.
"Adalah diharapkan agar ahli-ahli CUEPACS menjadi duta kecil pelancongan yang berperanan untuk menyakinkan rakyat bahawa Malaysia adalah destinasi selamat untuk dilawati dengan mengamalkan norma baharu seperti yang di tetapkan oleh kerajaan,” katanya.
#PakejCutiPenjawatAwam ini dibangunkan bersama agensi pelancongan, hotel serta operator pelancongan yang memberi tumpuan kepada produk-produk pelancongan sekitar ibu kota
Sebanyak 11 agensi pelancongan yang mengambil bahagian mempromosikan pakej percutian 2 hari 1 malam dan 3 hari 2 malam yang melibatkan hotel bertaraf 5 dan 4 bintang di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Genting Hinglands dengan menawarkan harga pakej serendah RM120 seorang.
Di samping tawaran penginapan, penjawat awam dapat menikmati pakej yang menampilkan produk-produk pelancongan yang menarik untukpengunjung harian (walk in tourist) dengan tawaran diskaun harga tiket sehingga 30 peratus.
Berikut di bawah adalah antara senarai produk pelancongan yang ditawarkan:
- Putrajaya tour
- Bangi Wonderland
- I-City Shah Alam
- Farm In The City
- Genting Highland
- Sky Bridge KLCC
- Sky Mirror Kuala Selangor
- Farm Tour UPM Serdang
- Sunway Lagoon
- Wet World Shah Alam
- Aquaria KLCC
- Muzium Kesenian Islam
- MAEPS dan banyak lagi
Tempoh tempahan pakej hanya sehingga 30 September 2020 manakala tempoh sah lawatan ialah sehingga 31 Disember 2020
Pembeli turut ditawarkan nilai tambahan termasuk 5,000 tiket lawatan bandaraya KL dengan menaiki bas Hop On Hop Off secara percuma, penginapan di hotel serta bayaran masuk produk pelancongan yang ditawarkan pada harga diskaun antara 20 sehingga 60 peratus.
Pakej permulaan yang ditawarkan merangkumi produk-produk pelancongan di sekitar Lembah Klang dan ianya akan diperluaskan ke negeri-negeri lain untuk fasa yang akan datang.
Penjawat awam digalakkan untuk mengambil peluang ini untuk memanfaatkan pakej-pakej yang ditawarkan kerana terdapat pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga 31 Disember 2021 susulan pengumuman pakej rangsangan PENJANA.
Penjawat awam boleh mendapatkan pakej-pakej ini dengan hanya menggunakan pas pekerja penjawat awam di agensi-agensi pelancongan yang terpilih. Pakej istimewa ini boleh dilayari di laman sesawang Tourism Malaysia www.malaysia.travel.
Wow bestnya jadi penjawat awam! Dapat banyak diskaun & pakej istimewa daripada Tourism Malaysia.
Tunggu apa lagi? Tempahlah sekarang sebelum terlambat.