6 Artis Indonesia Di 1 Pentas, ‘Ruang Nyaman Fest’ Janji Festival Indoor Unik & Lain
Barisan artis memang mantap!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Festival muzik di Malaysia bakal menerima satu lagi nafas baharu apabila Ruang Nyaman Fest tampil dengan konsep yang berbeza daripada kebiasaan
Tidak seperti konsert solo atau festival yang dipenuhi ramai artis sampingan, acara ini menghimpunkan enam artis utama dalam satu malam di bawah satu bumbung.
Bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 14 November 2026, Ruang Nyaman Fest diperkenalkan sebagai festival muzik indoor premium dan eksklusif pertama seumpamanya di Malaysia.
Dianjurkan oleh Thrive Events, festival ini diasaskan oleh Haqimi Zamri dengan matlamat mewujudkan sebuah ruang buat peminat menikmati muzik dalam suasana lebih selesa, intim dan berkualiti tanpa perlu risau tentang cuaca atau gangguan lain.
Lebih menarik, setiap artis yang tampil dipilih berdasarkan kekuatan karya dan identiti muzik masing-masing. Barisan yang dibawakan bukan calang-calang, termasuk Cakra Khan, Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J, Pusakata serta wakil Malaysia, Najmi Niery.

Peminat bakal dihiburkan dengan deretan lagu popular seperti Harus Terpisah, Tapi Bukan Aku, It's Only Me, Ruang Tunggu dan Dekati, sekali gus menjadikan festival ini umpama himpunan karya-karya yang dekat di hati peminat muzik Nusantara.
Menurut Haqimi, konsep Ruang Nyaman Fest bukan sekadar menganjurkan konsert, sebaliknya menawarkan satu pengalaman muzik yang lengkap.
"Kami memilih enam artis yang mempunyai karya dan identiti tersendiri tanpa persembahan filler supaya penonton memperoleh pengalaman terbaik dari awal hingga akhir," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thrive Events, Hamka Mohd Taufik berkata konsep tersebut turut memberi nilai lebih kepada peminat kerana hanya memerlukan satu tiket untuk menikmati enam persembahan utama
Malah, penyertaan Cakra Khan turut menjadi antara tarikan terbesar festival ini memandangkan penyanyi itu sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berehat daripada mengadakan persembahan di Malaysia.
Menurut Cakra, konsep unik Ruang Nyaman Fest serta peluang berkongsi pentas bersama rakan-rakan pemuzik yang dihormatinya membuatkan beliau memilih untuk kembali menemui peminat Malaysia.
Tiket dijual bermula RM249 bagi kategori Adinda, diikuti Nanti (RM349), Dia (RM399), Dekati (RM449), Mengudara (RM499), Cahaya (RM699) dan Kita, iaitu kategori tempat duduk pasangan pada harga RM1,699.
Bagi peminat muzik Indonesia yang selama ini hanya berpeluang menyaksikan konsert artis kegemaran secara berasingan, Ruang Nyaman Fest menawarkan pengalaman berbeza apabila enam nama besar serantau berkongsi satu pentas dalam satu malam yang dijangka penuh dengan nostalgia, emosi dan lagu-lagu malar segar!
Tiket boleh dibeli di myticketempire.com.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via