Aisya Azzahra Cipta Kejayaan Di Pentas Dunia, Harumkan Nama Negara Pada Usia Lapan Tahun
Tahniah adik Aisya!
Cover image via Sinar HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Baru berusia lapan tahun, seorang murid Tahun Dua, Aisya Azzahra Muhammad Amirul Izzat membuktikan usia bukan penghalang untuk mencabar diri di pentas antarabangsa
Lebih membanggakan, penyertaan sulungnya dalam pertandingan akademik di luar negara membuahkan kejayaan apabila dia muncul juara dunia dan meraih tempat pertama Gold Medalist bagi kategori Grade 2 pada International Joey of English Competition Global Finals 2026 di Istanbul, Turkiye.
Menurut laporan Sinar Harian, kejayaan itu diraih selepas Aisya bersaing dengan peserta dari 34 negara.
Bapanya, Muhammad Amirul Izzat Roszaki berkata, keberanian anaknya menyahut cabaran pada usia muda lebih bermakna daripada kejayaan membawa pulang pingat emas.

Menurutnya, pengalaman tersebut memberi peluang kepada Aisya untuk belajar mengurus cabaran, membina keyakinan serta memahami bahawa kegagalan bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
"Kami sentiasa mengingatkan Aisya bahawa kita perlu berusaha sebaik mungkin, kemudian serahkan urusan rezeki dan hasilnya kepada Allah SWT.
"Kami mahu dia melihat pertandingan bukan sebagai satu tekanan, tetapi sebagai peluang untuk belajar, mencabar diri dan menimba pengalaman," katanya.
Sebelum ini, Aisya lebih banyak memberikan tumpuan kepada sukan catur dan merupakan pemain catur kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa di Indonesia, Mongolia, China dan Singapura
Bagaimanapun, peluang menyertai pertandingan akademik di Istanbul membuka ruang buat Aisya mencuba sesuatu di luar bidang yang biasa diceburinya.
"Kami sangat gembira dan bersyukur, malah terkejut apabila Aisya diumumkan sebagai juara dunia kerana ini merupakan kali pertama beliau menyertai pertandingan akademik di luar negara.
"Yang paling membanggakan apabila seorang anak kecil dari Malaysia mampu bersaing dengan peserta dari negara lain di pentas antarabangsa," katanya.

Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, keluarga Aisya turut berdepan cabaran kewangan, terutama selepas dia baru pulang daripada Asian Youth Chess Championship 2026 di Shenzhen, China dan ASEAN+ Age Group Championship di Singapura.
Namun, sokongan serta sumbangan daripada keluarga dan rakan-rakan membantu menampung perjalanan Aisya ke Istanbul.
Muhammad Amirul Izzat berharap kejayaan itu tidak membuatkan anaknya terlalu mengejar kemenangan, sebaliknya terus mencintai ilmu, berani mencuba, merendah diri dan menjadikan setiap pengalaman sebagai ruang untuk berkembang.
Beliau turut berpesan kepada anak-anak muda supaya tidak terlalu takut kepada kegagalan kerana setiap cabaran boleh menjadi peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


