Dari Mana Datangnya Dodol? Ini Dia Asal Usul Makanan Kegemaran Kita Yang Perlu Anda Tahu
Ingatkan ada di Malaysia saja.
Dodol adalah antara juadah popular tatkala menjelangnya hari raya. Masakan tradisional Melayu lama ini sehingga kini masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia
Tetapi dari manakah asal usulnya manisan ini? Dan bagaimana masayarakat dulu boleh terfikir untuk menjadikan ia sebagai hidangan istimewa yang mengambil masa berjam-jam untuk disiapkan?
Dodol dikatakan berasal dari Betawi, Indonesia. Seperti di Malaysia, ia dijadikan sebagai pemanis mulut istimewa semasa menjelangnya lebaran.
Kehadiran dodol yang berunsur beras di dalamnya adalah simbol kepada budaya agraria masyarakat Betawi dulu kala. Pada waktu itu, dodol dikatakan hanya untuk kalangan tertentu dan orang-orang kaya.
Perkataan "Dodol" ada tercatat dalam kamus tahun 1852 yang berjudul "A grammar and dictionary of the Malay language: with a preliminary.", Jilid 2 oleh John Crawfurd. Menurut kamus tersebut, perkataan "confectionery" memberi erti "manisan" atau "dodol".
Bagaimanapun, dodol turut terkenal di Singapura, Brunei, Filipina (terutamanya di Luzon dan Mindanao), Sri Lanka dan Myanmar di mana ia dipanggil "mont kalama".
Apa pun namanya, teknik membuat dodol tetap sama iaitu dengan menggunakan santan, gula perang atau gula melaka dan tepung beras sebagai ramuannya.
Di Malaysia, makanan tradisional ini lebih digemari dan terkenal di Melaka, Negeri Sembilan dan Muar, Johor. Berlainan dari negeri-negeri lain, di Negeri Sembilan, masyarakat di negeri itu menamakan dodol sebagai "penganan".
Selain dodol berwarna coklat biasa, kini dodol mempunyai banyak perasa lain. Yang paling popular ialah dodol perasa durian yang dipanggil lempuk. Ia berwarna kuning dan lebih popular di Thailand, Kelantan dan Terengganu. Dodol durian juga popular di Medan, Indonesia dan bandar-bandar lain di Sumatera.
Tetapi tahukah anda di Goa, India, dodol dimakan sewaktu menjelangnya perayaan Krismas? Ia dipanggil sebagai "halwa" di India dan Afrika Timur.
Halwa biasanya diperbuat dengan gula, susu, tepung gandum, semolina dan juga tepung jagung.
Lain pula di Bali, dodol di sana dijual di dalam daun jagung yang kering. Makanan tradisional ini juga telah terkenal di negara-negara Timur Tengah.
Boleh dikatakan, masyarakat Indonesia adalah antara yang paling kreatif dalam menghasilkan dodol. Terdapat pelbagai jenis dodol yang anda boleh cuba di sana.
Antaranya adalah dodol garut, dodol kacang hijau, dodol bengkoang, dodol nangka, dodol ubi talam, dodol sirsak (durian belanda), dodol tomato, dodol pita, dodol apel malang, dodol salak, dodol rumput laut, dodol pisang, dodol nanas, dodol mangga dan dodol lidah buaya.
Di Malaysia, "Dodol Pilah" adalah salah satu yang paling popular dan anda boleh mendapatinya di R&R Jemapoh di sepanjang Jalan Kuala Pilah-Bahau, Negeri Sembilan.
Sedikit berlainan dengan dodol biasa, di sini mereka menggunakan gula enau/gula kabung dan bukannya gula Melaka. Rasa dodol yang dihasilkan lebih enak dan berlemak.
Proses membuat dodol juga bukanlah dalam masa yang singkat. Ia memerlukan masa yang agak lama sekitar 4 jam hingga 8 jam bergantung kepada kuantiti bahan-bahannya
Ya, memang lama. Pernah atau tidak anda terfikir bagaimana orang dulu kala boleh menghasilkan makanan ini yang mana ia mengambil masa yang lama untuk masak?
Kami sendiri tidak tahu jawapannya tetapi ia boleh dikatakan sangat-sangat unik!
Dodol hendaklah sentiasa dikacau dari awal menyediakannya sehinggalah masak. Ini adalah untuk memastikan segala bahan yang digunakan dapat bercampur sebati. Proses mengacau dodol ini memerlukan lebih daripada seorang.
Sebabnya adalah tekstur dodol akan berubah menjadi likat. Jadi ia akan menjadi lebih sukar untuk dikacau. Kata orang seelok-eloknya bergilir-gilirlah mengacau dodol. Kalau tidak nanti boleh sakit pinggang dibuatnya.
Sumber: The Star
Memang unik bukan? Rupa-rupanya dodol bukan saja dimakan oleh masyarakat kita malah di negara-negara luar juga. Apa-apa pun semoga makanan tradisional ini dapat kita kekalkan sepanjang zaman.
Buat mereka yang inginkan resepi membuat dodol, anda boleh klik di SINI.