seismik

Azizulhasni Awang Dedah Kisah ‘Rahsia’ Di Sebalik Menang Pingat Gangsa Olimpik Rio 2016

Sebaknya bila tahu cerita sebenar dia.

Cover image via Astro Awani & Azizulhasni Awang (Facebook)

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Seperti umum ketahui, kini sedang berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020

Sudah pasti atlet dari Malaysia telah melakukan persiapan yang secukupnya sebelum mereka bertanding di kejohanan berprestij ini.

Walau bagaimanapun, salah seorang atlet daripada Malaysia iaitu Datuk Azizulhasni Awang berkongsi kisah 'rahsia' di sebalik kemenangannya yang meraih pingat gangsa daripada edisi sukan Olimpik Rio 2016.

Dia yang juga mendapat jolokan nama ‘The Pocket Rocketman’ itu turut mendedahkan bagaimana perasaannya ketika menghadapi kejohanan terbesar dunia berkenaan selepas mendapat tahu dua orang anaknya sakit dan terpaksa berada di hospital.

Ikuti kisah penuh beliau di bawah yang dimuat naik di laman rasmi Facebook miliknya:

Al-Kisah Rahsia Rio

Saya menamatkan panggilan telefon. Isi perbualan sebentar tadi masih terngiang-ngiang dalam kepala. Membuatkan saya terapung-apung di awangan. 

Saya mengambil basikal road dan menuju ke dewan makan di perkampungan sukan. Saya tidak tahu apa yang saya suap ke mulut tetapi hanya dikunyah dan termenung. Panggilan dari ahli keluarga terdekat sebentar tadi betul-betul membuatkan jiwa saya resah.

Ogos 2016 saya berada di Rio, Brazil. Menghadapi sebuah temasya sukan terbesar di dunia yang hanya di adakan sekali setiap empat tahun. Tempat dimana semua atlet-atlet hebat dari seluruh pelusuk dunia tidak kira apa jua sukan berkumpul untuk bersaing sesama sendiri dan menunjukkan kebolehan masing-masing. 

Dibahu saya ketika diletakkan sebuah harapan tinggi, setinggi gunung yang mencecah langit. Saya antara prospek untuk membawa balik pulang pingat emas untuk negara. Untuk rekod, Malaysia belum pernah memenangi pingat emas di temasya sukan terbesar itu.

Tetap bertanding di sukan Olimpik Rio demi negara walaupun mendapat perkhabaran berita dua orang anaknya sakit dan berada di hospital

“Maryam dan Khadeeja masuk hospital. Teruk. Dah seminggu diorang di hospital” maklumat yang saya dapat dari panggilan tersebut. Patutlah sudah seminggu isteri saya mendiamkan diri, katanya ingin saya fokus kepada perlumbaan. Maka semua persoalan sudah terjawab. Saya muhasabah diri.

Walaupun pahit, perlu ditelan jua. Setiap dari kita pasti diuji dengan pelbagai ujian dalam kehidupan dan saya sendiri tidak lari daripada mendapat ujian demi ujian dari Allah swt, terutama apabila berada di situasi genting. Bukan mudah, tetapi begitulah kehidupan. Semakin kita dewasa, semakin mencabar tahap ujian itu. Itulah yang mematangkan kita, yang menjadikan kita ‘bulletproof’ orang kata. 

Sebab itu adalah lebih afdhal bila kita berdoa kepada Allah swt, jangan kita mintak diringankan ujian, tetapi mintak supaya kita dikuatkan. Di Rio, saya tidak meletakkan pilihan kepada diri untuk mengalah, apalagi untuk berasa lemah. Alang-alang mencelup pekasam biar sampai ke panggal lengan. Demi negara.

Berjaya raih pingat gangsa buat negara di sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin lelaki

Apabila temasya berakhir, saya berjaya mengalung sebuah pingat didada. Walaupun kilauannya bukan emas tetapi saya tetap berbangga. Ianya adalah sejarah besar buat diri saya, buat sukan saya dan buat negara saya. Apa yang berlaku kepada anak-anak di Malaysia masih satu rahsia yang dipendam. 

Saya mohon kepada kontinjen untuk pulang dengan kadar segera. Tak sabar nak balik untuk tengok keadaan anak-anak macam manalah agaknya. Sampai di lapangan terbang, saya di sambut dengan ‘water salute’. Biasanya ‘water salute’ ni dibuat untuk penerbangan pertama atau terakhir sesebuah kapal terbang itu, juga untuk beberapa peristiwa khas dan kejayaan saya itu di anggap sebagai salah satu daripadanya.

Keluar je dari mulut kapal terbang, penuh umat manusia sudah tunggu menjemput. Saya lontarkan sebuah senyuman penghargaan kepada semua walaupun fikiran berkecamuk. Dari dalam sampai lah keluar, disepanjang tempat saya berjalan dipenuhi pelbagai orang yang memberikan lambaian dan penghormatan. 

Sesampainya di balai ketibaan, kelihatan sangat padat dengan pelbagai orang serta penuh corong-corong kamera yang memberikan tumpuan kepada saya. Saya berhenti sesaat di pintu ketibaan dan anak mata mencari ahli keluarga, terutama isteri tersayang.

Bergegas dari lapangan terbang KLIA ke hospital untuk berjumpa anak-anak

Saya nampak mereka berada di satu sudut lalu saya mempercepatkan langkah menuju ke arah mereka. Terus saya memeluk isteri yang ketika itu bercucuran air matanya. Kesemua ahli keluarga saya juga bercucuran hujan basah di mata mereka. 

Sebak di dada hanya Allah yang tahu. Kejayaan, pingat, tumpuan, semuanya sudah tiada makna waktu tu. Apa yang saya mahu hanyalah hendak menuju ke hospital dengan kadar segera untuk berjumpa dengan anak-anak disana.

Maka bergegaslah saya dari lapangan terbang itu menuju ke tempat yang jiwa saya meronta-ronta hendak kesana semenjak dari Rio lagi. Perginya saya ke hospital itu bukanlah sebagai seorang wira negara, bukan jaguh, bukan pemenang pingat di temasya sukan, bukan juga individu yang di puji-puji dan diangkat-angkat oleh semua pihak.

Tetapi menujunya saya ke hospital pada hari itu hanyalah sebagai seorang Ayah.

[TAMAT]

Semoga temasya sukan OIimpik Tokyo 2020 kali ini, Azizulhasni Awang dapat menghadiahkan pingat emas buat kita semua. Good luck The Pocket Rocketman! :)

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: