Kucing Pun Nak Bergaya Di Hari Raya. Siap Ada Baju Dah Sekarang. Tengok Ni!
Meow pun nak bergaya di pagi raya!
Kalau sebut saja raya, pastinya kita semua akan terbayangkan baju raya yang bakal kita sarungkan di pagi raya nanti. Kata orang, raya cuma sekali dan waktu inilah kita nak nampak cantik dan bergaya.
Tetapi tahukah anda, zaman sekarang baju raya tidak lagi dikhususkan kepada manusia sahaja malah ia juga turut dijual buat kucing peliharaan kesayangan anda. Tengoklah si meow kat bawah ni. Bukan main lagi dia...
Busana raya kucing ini dijual oleh Meowku Enterprise secara online di laman Facebook dan Instagram. Malah, COD turut disediakan.
Pemilik Meowku Enterprise, Nur Athirah Ahmad, 25 dan rakannya Mohammad Affin Aizat Anuar, 28, yang beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur menawarkan pilihan baju raya itu sejak 1 Ramadan lalu.
Pelbagai jenis baju yang dijual. Kesemuanya kelihatan menarik dan mempunyai rekaannya sendiri. Kalau nak sedondon dengan si comel raya ni pun memang tak ada masalah!
"Kami menyediakan baju raya dan 150 songkok yang boleh diubahsuai saiz sebulan sebelum Ramadan lagi. Apabila saya muat naik gambar songkok kucing, banyak permintaan yang diterima dan ia laris dijual dalam masa sehari saja.
"Permintaan bukan saja diterima di Malaysia, malah ada yang dari Singapura, Brunei dan Australia menempahnya," kata Nur Athirah.
Terdapat kurta, baju Melayu, baju kurung dan blaus 'peplum' yang boleh disuaikan dengan 40 warna mengikut citarasa pelanggan
"Berdasarkan ukuran yang kami perolehi tahun lepas, kami menghasilkan saiz S untuk kucing usia kurang dari enam bulan, M untuk kucing lebih setahun dan L kucing bersaiz besar," katanya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan UNISEL," kata Mohammad Affin.
Menurutnya, harga setiap baju raya kucing dijual bermula dari RM32 hingga RM45 manakala songkok kucing berharga RM10.