#Belanjawan2027: Gaji Minimum Bakal Naik Kepada RM2,000 Sebulan Mulai Jun 2027
Berita baik untuk graduan yang nak masuk dunia pekerjaan!
Cover image via RTM MalaysiaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa mulai Jun 2027

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bertujuan untuk membantu meningkatkan pendapatan pekerja dan merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah.
Langkah itu diambil susulan beban kos sara hidup yang semakin meningkat apabila pendapatan rakyat dilihat tidak berkembang seiring dengan kenaikan harga barangan.
Menurut beliau lagi, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih berada pada kadar rendah, iaitu 33.9 peratus.
Walau bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Pelaksanaan tersebut dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja yang tertakluk kepada kadar gaji minimum baharu.
Gaji minimum RM2,500 untuk pekerja separa mahir dan graduan
Dalam pada itu, kerajaan turut merancang pembaharuan kerangka pendapatan pekerja menerusi pengenalan gaji minimum sebanyak RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
Menurut Perdana Menteri, kenaikan gaji minimum sedia ada hanya menetapkan paras terendah pendapatan pekerja, sedangkan upah bagi pekerja mahir masih belum setimpal dengan kelayakan yang dimiliki.
Sehubungan itu, pembaharuan berkenaan dilihat sebagai langkah untuk memastikan pendapatan pekerja lebih mencerminkan kemahiran, kelayakan dan sumbangan mereka dalam sektor pekerjaan.

GLIC dan GLC naikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400
Selain itu, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan rakyat, termasuk menaikkan gaji minimum, memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan serta melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam.
GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan menerusi penetapan penanda aras gaji sara hidup yang lebih tinggi.
Malah, beberapa majikan dalam sektor utama seperti perbankan serta minyak dan gas juga telah menetapkan kadar gaji yang lebih wajar untuk pekerja mereka.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua majikan swasta supaya mengambil langkah sama dengan menawarkan gaji yang lebih setimpal bagi membantu pekerja menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Follow SAYS on Instagram, Facebook, and TikTok for updates!


