#Belanjawan2027: Hampir RM1 Bilion Disediakan Untuk Projek Perumahan Rakyat
Difahamkan, Bandar MADANI Bukit Jalil dibangunkan sebagai kawasan kediaman lengkap dengan pelbagai kemudahan, termasuk sekolah vertikal.
Cover image via RTM MalaysiaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat memiliki kediaman sendiri menerusi pelbagai inisiatif perumahan, termasuk pembangunan projek baharu, jaminan pembiayaan serta pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara inisiatif yang diumumkan ialah pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil sebagai kawasan kediaman lengkap dengan pelbagai kemudahan, termasuk sekolah vertikal.
Pendaftaran Fasa 1 bagi projek berkenaan akan dibuka mulai Isnin ini.
Hampir RM1 bilion untuk projek perumahan rakyat

Dalam pada itu, hampir RM1 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek perumahan seperti Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat.
Sebanyak empat projek perumahan baharu turut dirancang untuk dibangunkan di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Lembah Pertang, Terengganu.
Selain itu, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion yang dijangka membantu kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama.
Inisiatif itu khususnya memberi manfaat kepada golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sekali gus membantu mereka mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah.
Kerajaan turut bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
Bagi rumah berharga sehingga RM750,000 pula, pengecualian penuh akan diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki nilai selebihnya menikmati pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.
Kemudahan itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Insentif untuk projek perumahan terbengkalai

Bagi mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030, kerajaan turut menyediakan pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disempurnakan oleh kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal.
Pengecualian itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Langkah berkenaan bertujuan menyokong usaha menyelesaikan projek perumahan terbengkalai, selain membantu pembeli mendapatkan kediaman yang sepatutnya menjadi milik mereka.
Follow SAYS on Instagram, Facebook, and TikTok for updates!


