Ini 5 Mitos Pantang Larang Zaman Kecil-Kecil Dulu, Mak Ayah Selalu ‘Tipu Sunat’ Anak-Anak
Sebab dan apa sebenarnya di sebalik semua alasan ini?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sahaja yang membesar di Malaysia, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mesti pernah "diugut" dengan pantang larang pelik-pelik oleh orang tua
Disebabkan kita dahulu kecil lagi, kita tidak faham malah takut dan hanya menurut sahaja bulat-bulat apa tanpa soal.
Tetapi, bila sudah besar panjang baru kita tersedar sebenarnya ada logik dan makna tersirat disebalik teguran, cerita hantu, pantang larang dan "rahsia" sebenar tipu sunat ibu bapa.
Jom kita kenang semula 5 mitos yang popular yang anak-anak selalu kena tegur.
Ini 5 mitos pantang-larang zaman kecil-kecil dulu:
1. "Jangan duduk atas bantal, nanti berbisul punggung!"

Gambar janaan AI
Image via Google GeminiMitos pantang-larang ni khas untuk anak-anak yang suka duduk atas bantal tidur. Kalau selalu duduk di atas bantal nanti dapat bisul besar. Nak duduk pun tak senang nanti!
Sebenarnya perkara ini adalah untuk kebersihan. Punggung kita terutama bahagian seluar selalu dipakai ketika bermain di luar dan akan penuh dengan kotoran dan peluh. Bantal pula adalah tempat kita tidur dan meletakkan muka setiap malam. Berkemungkinan besar, bakteria dari seluar itu akan berpindah kepada bantal sekali gus menyebabkan jerawat dan jangkitan kulit pada muka.
Dari segi adab pula, bantal yang sepatutnya dijadikan alas kepala diduduk pula dan dianggap tidak sopan dan kurang ajar.
2. "Jangan buka payung di dalam rumah"

Jangan membuka payung di dalam rumah kerana akan membawa sial. Ia juga sering dikaitkan dengan mitos cerita-cerita mistik yang boleh mengganggu kehidupan anda. Ada yang kata nanti ular masuk rumah dan sebagainya.
Fakta sebenar pantang ini adalah payung digunakan untuk melindungi diri daripada cahaya matahari terik atau hujan. Payung pula mempunyai bahagian tajam dan boleh mengganggu orang lain di dalam rumah.
Bagi yang beragama Islam, segala kebaikan dan keburukan datang dari Allah SWT, bukan objek atau pantang larang budaya. Tawakal dan elak dari mempercayai perkara khurafat sebegini.
3. "Jangan makan tukar-tukar tempat, nanti kahwin ramai"

Gambar janaan AI
Image via Google GeminiSiapa sahaja yang tak pernah buat? Mula-mula makan di meja, kemudian bertukar ke depan televisyen, kemudian kembali ke meja makan. Tabiat ini dikatakan akan membuat anda seolah-olah menukar pasangan hidup atau nanti bermadu.
Logik sebenarnya adalah apabila kita makan di merata-rata tempat, rumah akan bersepah dengan cebisan makanan yang tumpah merata. Siapa yang selalu akan tolong mencuci adalah ibu bapa kita sendiri. Malah makan di satu tempat juga mengajar orang itu untuk lebih berdisiplin supaya menghormati rezeki dan menjaga tertib ketika makan bersama keluarga.
4. "Jangan nyanyi kat dapur, nanti kahwin orang tua"

Bayangkan anda tengah seronok menggoreng ikan di dapur atau membantu orang tua masak sambil menyanyi. Tiba-tiba kita ditegur bakal menjadi jodoh orang tua lebih berumur hanya sebab menyanyi di dapur.
Jawapan sebenar hanyalah kerana faktor keselamatan dan kebersihan makanan. Jika anda menyanyi di dapur yang dipenuhi barangan tajam seperti pisau dan benda panas, sangat berbahaya kerana anda akan leka menyanyi. Jika fokus hilang, sudah pasti kemalangan akan berlaku.
5. Jangan keluar atau balik waktu maghrib, nanti kena sorok hantu kopek!"

Antara mitos dan pantang-larang paling popular buat rakyat Malaysia. Ketika ini langit sudah bertukar warna jingga dan semakin gelap. Azan Maghrib pula baru sahaja berkumandang. Dikatakan satu entiti misteri (hantu kopek) akan keluar untuk menculik budak-budak yang selalu balik lewat dan akan disorok dan terus hilang.
Jadi, apa jawapan sebenar pantang-larang ini? Ada dua faktor, iaitu dari segi keselamatan dan juga waktu beribadah atau bersama keluarga.
Untuk keselamatan, waktu ini pencahayaan adalah samar-samar dan kanak-kanak sangat berisiko untuk terlibat dalam kemalangan mahupun digigit oleh binatang berbisa.
Waktu ini juga adalah waktu kita membersihkan diri, bersiap untuk solat atau makan malam bersama-sama keluarga.
Di sebalik semua pantang-larang, ada kasih sayangnya
Sebab itu, bila kita sudah besar, ramai akan terpikir mengapa ibu bapa selalu "tipu sunat" dan menegur dengan pelbagai pantang-larang.
Orang tua-tua zaman dulu tidak memerlukan buku psikologi moden khas untuk melentur buluh dari rebungnya. Mereka bukan hanya menipu semata-mata, tetapi juga menjadi satu cerminan nilai, disiplin, adab dan keselamatan anak-anak, tetapi "dibalut" rapi dengan cerita rakyat untuk melindungi anak-anak.
Pantang-larang orang dulu-dulu apa lagi yang korang selalu kena?
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via