Proton S70 Rasmi Jadi Teksi MADANI, Plat Khas ‘GET’ Ganti Era Teksi Lama
Difahamkan, Proton S70 varian Premium dipilih sebagai teksi generasi baharu selepas memenuhi keperluan pengangkutan moden dari segi keselamatan, keselesaan dan kecekapan penggunaan bahan api.
Cover image via BERNAMAFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Industri teksi negara kini memasuki lembaran baharu apabila Proton S70 dipilih secara rasmi sebagai kenderaan di bawah Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional, sekali gus menandakan berakhirnya era sistem pajakan tradisional yang sekian lama membelenggu pemandu
Menurut laporan BERNAMA, pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka hari ini, 3 Julai 2026.
Menerusi inisiatif itu, Proton S70 varian Premium dipilih sebagai teksi generasi baharu selepas memenuhi keperluan pengangkutan moden dari segi keselamatan, keselesaan dan kecekapan penggunaan bahan api.
Antara ciri yang menjadi perhatian ialah penggunaan enjin turbo yang lebih menjimatkan, selain ruang kabin lebih luas bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada penumpang.

Lebih menarik, wajah baharu teksi ini tampil jauh berbeza daripada teksi konvensional yang sinonim di jalan raya sebelum ini
Papan tanda teksi di atas bumbung atau topper tidak lagi digunakan. Sebaliknya, ia digantikan dengan paparan skrin LED pada cermin hadapan dan belakang yang boleh bertukar secara automatik antara mod Teksi' dan 'E-hailing', sekali gus memberikan imej lebih moden.
Selain itu, semua teksi baharu ini akan menggunakan nombor pendaftaran khas 'GET' (Gaya Ekonomi Terampil) yang menjadi identiti rasmi program tersebut.
Dalam masa sama, operasi pemandu turut dipertingkatkan menerusi integrasi dengan platform e-hailing serta penggunaan meter digital, membolehkan tempahan dilakukan dengan lebih mudah melalui telefon pintar.

Pembaharuan paling signifikan bagaimanapun ialah hak milik kenderaan kini kekal di tangan pemandu selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, sekali gus menamatkan kebergantungan kepada sistem pajakan yang sebelum ini sering menjadi beban kepada golongan tersebut.
Bagi membantu pemilikan kenderaan, kumpulan DRB-HICOM melalui EON Avis bersama institusi kewangan turut menawarkan pakej pembiayaan dan pajakan yang lebih fleksibel termasuk penyelenggaraan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pemandu memiliki teksi sendiri tanpa berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank.
Langkah ini dilihat sebagai antara transformasi terbesar industri teksi negara dalam usaha menjadikan perkhidmatan pengangkutan awam lebih moden, berdaya saing dan selari dengan perkembangan ekosistem e-hailing di Malaysia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


