SAH! Litar Antarabangsa Sepang Jadi Tuan Rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026
Untuk rekod, Sepang kali terakhir menjadi tuan rumah perlumbaan F1 adalah pada tahun 2017.
Cover image via Mercedes-AMG Petronas F1 Team (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman rasmi Formula 1 berhubung penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026
Menerusi posting yang dimuat naik KBS di Facebook, pihaknya menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, atas hubungan akrab dan kepercayaan antara kedua-dua negara.
Selain itu, KBS turut menghargai hubungan erat serta kerjasama kukuh antara Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan ini di Malaysia.
Perbincangan mendalam berhubung kerjasama ini diadakan antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain dan Formula 1 setelah Perdana Menteri dan KBS menerima makluman awal berkenaan kemungkinan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di SIC.
"Persetujuan yang dicapai ini mencerminkan hubungan persahabatan yang utuh antara Malaysia dan Bahrain, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia. Penganjuran ini juga dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan menerusi pelancongan, pelaburan dan aktiviti ekonomi berkaitan sukan," kata Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Kualiti penganjuran dan impak ekonomi sukan
Litar Antarabangsa Sepang memiliki rekod cemerlang selaku tuan rumah perlumbaan Formula 1 selama 19 tahun, iaitu dari 1999 hingga 2017, dan penganjuran kali ini pastinya dapat mengubat kerinduan peminat sukan permotoran di Malaysia untuk sekali lagi menyaksikan acara berprestij ini di Sepang.
KBS, menerusi SIC, komited memastikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 berlangsung dengan lancar mengikut piawaian tertinggi Formula 1, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada pasukan, pelumba dan peminat dari seluruh dunia.
Penganjuran kali ini dijangka akan terus memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan permotoran negara, meningkatkan lagi reputasi Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan sukan.
Di samping itu, KBS akan terus komited menyokong pembangunan sukan permotoran negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, perlumbaan GP Bahrain di Litar Sakhir yang sepatutnya berlangsung pada April lalu, dibatalkan susulan perang Iran serta situasi keselamatan yang tidak menentu di Asia Barat manakala GP Arab Saudi di Jeddah turut dibatalkan atas sebab yang sama.
Dengan kemasukan semula perlumbaan di Sepang, kalendar F1 musim ini kembali mempunyai 23 perlumbaan, namun masih timbul spekulasi mengenai sama ada dua pusingan terakhir di Qatar dan Abu Dhabi dapat diteruskan.
Menurut sumber yang mengetahui perkembangan itu, Litar Imola di Itali, yang juga litar 'keramat' Ferrari, sedang dipertimbangkan sebagai lokasi perlumbaan penutup musim sekiranya perlumbaan di Asia Barat sekali lagi tidak dapat dianjurkan.
GP Bahrain di Sepang akan berlangsung di antara GP Azerbaijan pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.
Lihat kenyataan rasmi penuh daripada KBS di bawah:


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


