Sunway Lagoon Kesal Insiden Roller Coaster Menyebabkan 10 Orang Cedera

Difahamkan, terdapat 22 orang berada di atas tarikan itu ketika kejadian berlaku.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pihak pengurusan Taman Tema Sunway menzahirkan rasa amat kesal berhubung satu insiden melibatkan sebuah tarikan di Sunway Lagoon pada 22 Ogos 2026 yang menjejaskan seramai 10 orang pengunjung

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, pihak pengurusan menyuarakan keprihatinan mendalam terhadap keadaan pengunjung yang terjejas serta memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh mereka dan ahli keluarga.

Pihak pengurusan menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan tertinggi syarikat. Sejak insiden itu berlaku, tumpuan utama telah diberikan kepada aspek penjagaan perubatan dan kesihatan kesemua individu yang terlibat.

"Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung adalah keutamaan kami. Sejak insiden tersebut, tumpuan utama kami adalah terhadap penjagaan dan kesihatan pengunjung-pengunjung yang terlibat. Kami telah menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan serta terus berhubung rapat dengan pengunjung-pengunjung dan keluarga mereka," menurut kenyataan itu.

SAYS.com
Image via Sunway Lagoon Studios (Facebook)

Selain memberikan bantuan perubatan, pihak Taman Tema Sunway mengesahkan bahawa mereka kini sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung punca insiden berkenaan.

Pihak syarikat turut menyatakan kesediaan penuh untuk terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan individu terjejas sepanjang proses siasatan dijalankan.

Taman Tema Sunway menekankan bahawa perkara ini dipandang secara serius dan syarikat kekal komited untuk memastikan kesemua tarikan serta fasiliti di taman tema itu memenuhi standard keselamatan tertinggi demi menjamin keyakinan para pengunjung.

Pada hari Isnin, 24 Ogos, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan bahawa 10 pengunjung telah cedera dalam satu kemalangan yang melibatkan sebuah roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya pada malam Sabtu

Pihak polis mengeluarkan kenyataan tersebut selepas video dan hantaran mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Satu video menunjukkan seorang wanita diusung turun dari tangga kawasan roller coaster berkenaan menggunakan pengusung.

Menurut New Straits Times, Wan Azlan berkata terdapat 22 orang, termasuk rakyat tempatan dan pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun, berada di atas tarikan itu apabila kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam.

SAYS.com
Image via Amirudin Sahib/New Straits TimesImage via

Sementara itu, pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah turut menzahirkan rasa duka cita atas kejadian berkenaan sambil menambah ia mungkin disebabkan oleh lesu logam (metal fatigue)

"Ia adalah satu kejadian yang amat kami semua kesali. Kita bernasib baik kerana tiada kemalangan jiwa berlaku," kata Cheah kepada New Straits Times.

"Pada pandangan saya, kejadian itu mungkin berpunca daripada lesu logam,"
katanya sambil menambah bahawa pihak polis telah menolak sebarang unsur khianat.

Cheah turut mendedahkan bahawa tarikan tersebut telah ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan komprehensif dan penyelenggaraan kira-kira dua hingga tiga minggu sebelum kejadian itu berlaku.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca kejadian tersebut.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: