Bermula Dengan Mesin Jahit Terpakai, Jenama Denim Dari Jertih Kini Tembusi Pasaran Amerika Syarikat

Bangganya jenama denim tempatan kita berjaya masuk pasaran antarabangsa. Terbaiklah!

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Ramai sangka jenama denim premium hanya lahir dari negara seperti Jepun atau Amerika Syarikat (AS)

SAYS.com
Image via Malay Mail

Namun siapa sangka, sebuah jenama buatan anak tempatan dari Jertih, Terengganu kini berjaya mencipta nama sehingga bakal menembusi pasaran AS.

Lebih menarik, perjalanan Raw Denim House (RDH) bermula dengan hanya sebuah mesin jahit terpakai di ruang tamu rumah kira-kira 18 tahun lalu.

Menurut laporan Malay Mail, perniagaan itu diasaskan oleh tiga sahabat dari Jertih iaitu Muhamad Aidil Akhyar, Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin dan abangnya, Ahmad Syukri, RDH kini muncul sebagai antara pengeluar denim premium tempatan yang semakin mendapat perhatian peminat fesyen.

Dari servis baiki seluar kepada jenama denim premium

SAYS.com
Image via Malay Mail

Menurut Muhamad Aidil, mereka pada mulanya hanya menawarkan perkhidmatan mengubah suai (alteration) seluar denim sebelum mula menghasilkan rekaan sendiri menggunakan lebihan fabrik untuk dipakai secara peribadi.

Namun hasil kerja yang kemas mendapat perhatian rakan-rakan sehingga mereka mula menerima tempahan khas sebelum akhirnya beralih kepada pengeluaran siap pakai apabila permintaan semakin meningkat.

Lebih mengagumkan, ketiga-tiga pengasas tidak mempunyai latar belakang dalam bidang fesyen atau jahitan. Mereka mempelajari segala kemahiran secara sendiri melalui pembacaan, internet dan pengalaman sepanjang mengusahakan perniagaan.

Kini hasilkan sehingga 300 helai seluar setiap bulan

SAYS.com
Image via @rawdenimhouse (Instagram)

Ditubuhkan secara rasmi pada 2013, RDH kini mampu menghasilkan sekitar 200 hingga 300 pasang seluar denim sebulan, meningkat berbanding sekitar 200 pasang sebelum ini.

Peningkatan permintaan turut mendorong mereka berpindah ke premis baharu pada tahun 2024 dengan menyewa dua tingkat sebuah bangunan tiga tingkat di Jertih.

Premis tersebut bukan sahaja menyediakan ruang pengeluaran yang lebih luas, malah mempunyai bilik pameran bagi membolehkan pelanggan melihat serta membeli produk secara terus.

Walaupun kapasiti pengeluaran meningkat, Aidil mengakui mereka masih belum mampu memenuhi keseluruhan permintaan kerana jualan terus berkembang menerusi laman web, Instagram, Facebook, TikTok dan pelbagai acara jualan di seluruh negara.

Tembusi pasaran Amerika Syarikat, harga mencecah RM1,000 sehelai

Pencapaian terbesar RDH tahun ini apabila mereka berjaya menandatangani perjanjian membekalkan produk denim ke Amerika Syarikat, dengan penghantaran pertama dijangka dilakukan sebelum penghujung tahun.

Sebelum ini, pelanggan luar negara hanya membeli produk mereka secara individu. Namun kali ini, ia melibatkan pembekalan secara komersial ke pasaran AS.

Menurut Aidil, antara faktor yang menarik minat pembeli dari Amerika ialah identiti unik RDH yang menggabungkan elemen budaya Melayu dalam setiap rekaan seperti motif ayam sabung dan watak Hanuman dalam seni wayang kulit.

SAYS.com
Image via @rawdenimhouse (Instagram)

Seiring penggunaan fabrik premium dan peningkatan kos pengeluaran, harga seluar denim biasa RDH kini dijual antara RM389 hingga RM550 sehelai.

Bagi edisi khas yang dihasilkan dalam jumlah terhad menggunakan fabrik eksklusif serta kemasan premium, harganya boleh mencecah RM1,000 sehelai.

Selain pelanggan individu, RDH juga kini mula menembusi pasaran korporat apabila berjaya memperoleh kontrak membekalkan seluar dan jaket denim sebagai pakaian seragam kepada sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Mahu bawa identiti Malaysia ke pentas dunia

Bagi Aidil, kekuatan utama RDH bukan sekadar menghasilkan seluar denim berkualiti tinggi, tetapi memastikan setiap produk membawa identiti tempatan yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa.

Katanya, setiap helaian denim dihasilkan dengan teliti agar bukan sekadar menjadi pakaian, malah mempunyai nilai seni, identiti dan cerita yang mencerminkan budaya Malaysia.

Daripada sebuah ruang tamu dengan mesin jahit terpakai, kini jenama dari Jertih itu membuktikan bahawa produk buatan tempatan juga mampu melangkah jauh ke pentas dunia.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: