Berpaksikan Al-Qawiyy Al-Amin, Institusi Pendakwaan Syariah Diseru Tingkat Kompetensi & Integriti
Persidangan anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JaPenSWP) itu menghimpunkan para pendakwa Syarie dari seluruh negara.
Cover image via YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan institusi pendakwaan Syariah negara perlu terus diperkasakan menerusi peningkatan kompetensi, pendigitalan serta pengukuhan integriti bagi memastikan sistem keadilan Syariah kekal relevan dalam mendepani cabaran jenayah moden
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Ke-2 Tahun 2026 yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.
Persidangan anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JaPenSWP) itu menghimpunkan para pendakwa Syarie dari seluruh negara sebagai platform memperkukuh jaringan kerjasama, meningkatkan profesionalisme serta menyelaras hala tuju institusi pendakwaan Syariah ke arah sistem yang lebih dinamik, berkesan dan diyakini masyarakat.
Menurut Dr. Zulkifli, usaha memperkasa institusi pendakwaan Syariah perlu berpaksikan konsep Al-Qawiyy al-Amin yang membawa maksud kekuatan dan integriti. Beliau menjelaskan tiga teras utama perlu diberikan keutamaan, iaitu lonjakan kompetensi syarak dalam kalangan pendakwa Syarie, pelaksanaan digitalisasi secara proaktif bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan etika kerja sebagai benteng dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab institusi keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan
Image via YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (Facebook)Transformasi keadilan syariah progresif
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JaPenSWP dan seluruh urus setia atas kejayaan menganjurkan persidangan tersebut dengan cemerlang. Katanya, resolusi yang dicapai menerusi PePSSM 2026 diharap menjadi pemangkin kepada transformasi institusi pendakwaan Syariah sekali gus memacu sistem keadilan Syariah negara ke arah yang lebih progresif, cekap dan berwibawa.
Mengakhiri ucapannya, Dr. Zulkifli menyeru seluruh pihak agar terus menyokong usaha pemerkasaan undang-undang Syariah demi menjamin masa depan ummah yang lebih adil, harmoni dan sejahtera.
Beliau turut mengajak semua pihak untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan selaras dengan firman Allah SWT, "Fastabiqul khairat", sebagai semangat bersama dalam memperkukuhkan institusi keadilan Syariah negara.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


