Beza Agama & Bangsa Bukan Penghalang, Ahli Perniagaan Bantu Warga Emas Kembali Melihat Dunia
Respect!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki berusia 65 tahun yang mengalami kecacatan penglihatan selama empat tahun akhirnya dapat melihat semula, hasil bantuan seorang ahli perniagaan yang memastikannya dapat menjalani pembedahan katarak
Mohd Din Deli, yang tinggal bersendirian di Kuala Lumpur, kehilangan penglihatannya selepas mengalami katarak yangs serius pada kedua-dua belah matanya.
Menerusi laporan Bernama, disebabkan hilang keupayaan untuk melihat, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan mula bergantung pada bantuan orang ramai untuk meneruskan kehidupan.
"Selepas hilang penglihatan, tongkat menjadi 'mata' saya. Tanpa penglihatan saya tak dapat bekerja, dan bagi meneruskan kehidupan saya terpaksa meminta sedekah. Saya sewa bilik hotel murah dengan kadar RM30 sehari dekat Puduraya.
"Bagi menampung hidup, saya akan keluar seawal 5.30 pagi setiap jari dan habiskan hari saya dengan meminta ihsan daripada orang ramai sampai petang. Ada yang beri saya makanan, ada yang beri duit. Namun ada hari satu sen pun saya tak dapat," katanya kepada Bernama.

Keadaan Din mula berubah selepas dia bertemu dengan Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy, seorang ahli perniagaan yang kerap melalui Kuil Kortumalai Pillaiyar di Jalan Pudu Lama
Jeyenderan sering berhenti untuk membantu Din melintas jalan dan kadangkala memberinya wang untuk keperluan hariannya.
"Saya cuma kenal beliau melalui suara kerana saya kan buta. Kemudian barulah saya tahu beliau pemilik sebuah syarikat perkapalan. Pertolongan beliau nampak kecil di mata orang lain tapi amat besar maknanya bagi saya," kata Din.
Din sebelum ini telah menjalani pemeriksaan mata, berharap masih ada peluang untuknya mendapatkan semula penglihatannya. Dia diberitahu bahawa pembedahan katarak akan menelan belanja RM1,800, jumlah yang tidak mampu ditanggungnya.
"Saya rasa benar-benar tak berdaya dan menyangka akan menghabiskan sisa hidup dalam kegelapan.
"Apabila saya ceritakan keadaan saya kepada Jeyenderan, beliau segera mengatur pemeriksaan perubatan dan pada 4 Ogos lalu, saya akhirnya dapat buka mata dan menyaksikan dunia yang saya sangkakan akan terus gelap sampai bila-bila," ujarnya.

Walau bagaimanapun, bantuan ahli perniagaan itu tidak terhenti di situ
Jeyenderan juga menawarkan Din pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di syarikatnya, memberinya peluang untuk membina semula hidup.
"Saya sangat terharu dengan kebaikan yang ditunjukkannya dan saya akan sentiasa berterima kasih atas ihsan serta keikhlasan beliau membantu saya ketika saya berada di titik paling gelap dalam hidup," kata Din.
Jeyenderan memberitahu bahawa dia berasa kasihan dengan keadaan Din dan akui hanya ingin menghulurkan bantuan kepadanya.
"Cerita Din yang terpaksa bergantung pada orang lain, memimpinnya untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat amat menyentuh hati saya.
"Hari ini Tuhan beri dia peluang untuk kembali berdikari, ke masjid dan dapat bersembahyang dengan penuh kesyukuran. Syukur pada Yang Maha Kuasa kerana kembalikan penglihatan dia," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via