Boleh Ke Mengundi Awal Kalau Sibuk? Ini Senarai Golongan Yang Layak Undi Awal
Pengundian awal di Malaysia hanya dikhaskan untuk kumpulan tertentu dan bukan dibuka kepada semua pengundi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramai yang menyangka mereka boleh memohon untuk mengundi lebih awal jika ada urusan kerja, bercuti atau berada jauh dari kawasan mengundi pada hari pilihan raya
Hakikatnya, pengundian awal di Malaysia hanya dikhaskan untuk kumpulan tertentu dan bukan dibuka kepada semua pengundi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kemudahan pengundian awal disediakan bagi memastikan petugas keselamatan yang bertugas ketika pilihan raya tetap dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Golongan yang layak ialah:
- Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
- Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Pasangan anggota tentera
- Pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)
Mereka diberi peluang mengundi lebih awal kerana komitmen tugas ketika hari pengundian.

Pengundi biasa tak boleh mohon undi awal
Jika anda merupakan pengundi biasa, anda tidak boleh memohon untuk mengundi awal walaupun mempunyai urusan kerja, bercuti, belajar di negeri lain atau tinggal jauh dari pusat mengundi.
Pengundian hanya boleh dilakukan di pusat mengundi yang telah ditetapkan berdasarkan rekod pengundi masing-masing.
Ini juga bermakna anda tidak boleh memilih pusat mengundi lain hanya kerana lokasinya lebih dekat dengan tempat tinggal atau tempat kerja.

Undi awal berbeza dengan undi pos
Ramai yang masih keliru antara undi awal dan undi pos, sedangkan kedua-duanya merupakan kategori yang berbeza.
Undi pos biasanya melibatkan:
- Petugas pilihan raya
- Pegawai SPR
- Petugas media yang bertugas semasa pilihan raya
- Individu tertentu yang layak mengikut syarat ditetapkan
Sementara itu, rakyat Malaysia yang berada di luar negara pula boleh memohon untuk mengundi secara pos di bawah Kategori 1B, sekiranya permohonan dibuka dan mereka memenuhi syarat kelayakan.
Cara semak status pengundi

Bagi mengetahui sama ada anda merupakan pengundi biasa, pengundi awal atau pengundi pos, anda boleh membuat semakan menerusi sistem MySPR Semak apabila maklumat pilihan raya dibuka.
Semakan boleh dibuat menggunakan nombor MyKad atau nombor perkhidmatan tentera dan polis.
Jadi sebelum tiba hari mengundi, pastikan anda menyemak status pengundian masing-masing supaya tidak berlaku kekeliruan ketika proses pilihan raya nanti.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via