Boleh Ke Simpan Lama? Ini Tempoh Sebenar Ikan Boleh Bertahan Dalam Freezer
Nak simpan ikan dalam freezer pun ada caranya tau.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramai yang suka beli ikan dalam kuantiti banyak bila nampak promosi di pasar raya
Ada juga yang sengaja buat stok untuk jimat masa memasak sepanjang minggu.
Tapi pernah tak anda tertanya-tanya, berapa lama sebenarnya ikan boleh disimpan dalam freezer sebelum kualitinya mula merosot?
Rupa-rupanya bukan semua ikan boleh bertahan untuk tempoh yang sama. Jenis ikan, kandungan lemak dan cara penyimpanan memainkan peranan penting.
Tak semestinya ikan segar lebih baik

Kebanyakan orang menganggap ikan yang dijual di kaunter makanan laut lebih segar berbanding ikan beku.
Hakikatnya, ramai pakar menjelaskan bahawa kebanyakan ikan segar yang dijual sebenarnya pernah dibekukan terlebih dahulu, malah ada yang dibekukan sebaik sahaja ditangkap di laut.
Menurut laporan Southern Living, Chef dan Saintis Makanan, Tiffany Swan, berkata jika anda tahu ikan itu tidak akan dimasak dalam masa terdekat, lebih baik beli ikan yang masih beku daripada terus menyahbekukannya di pasar raya.
Ini kerana proses pembekuan industri menggunakan suhu yang jauh lebih rendah berbanding freezer di rumah, sekali gus menghasilkan kristal ais yang lebih kecil dan tidak merosakkan tekstur isi ikan.
Ikan berlemak tak tahan lama dalam freezer
Tak semua jenis ikan mempunyai jangka hayat yang sama ketika dibekukan. Menurut Pengarah Hal Ehwal Kulinari Institute of Culinary Education, Herve Malivert:
- Ikan berlemak seperti salmon, trout, tuna dan sardin lebih cepat rosak apabila disimpan terlalu lama kerana minyak semula jadinya boleh teroksida dan menjadi tengik.
- Ikan kurang lemak seperti halibut pula lebih tahan lama dalam freezer.

Selain itu, freezer di rumah biasanya melalui kitaran beku dan cair secara automatik yang boleh menyebabkan tekstur ikan menjadi lebih lembik apabila disimpan terlalu lama.
Cara simpan ikan supaya tahan lebih lama
Cara pembungkusan juga memainkan peranan penting. Matlamat utama ialah mengurangkan udara yang bersentuhan dengan ikan bagi mengelakkan freezer burn serta proses pengoksidaan.
Antara kaedah yang disyorkan ialah:
1. Vacuum seal (paling disyorkan)
Kaedah ini mengeluarkan hampir semua udara daripada bungkusan, sekali gus membantu mengekalkan tekstur dan rasa ikan lebih lama.
2. Beg freezer
Jika tiada mesin vacuum seal, masukkan ikan ke dalam beg freezer jenis zip. Tinggalkan sedikit ruang sebelum penutup ditutup sepenuhnya, kemudian rendam beg ke dalam air sejuk supaya tekanan air menolak keluar udara. Selepas itu, tutup rapat beg tersebut.
Jadi, berapa lama ikan boleh disimpan?

Secara umum, pakar mencadangkan tempoh berikut:
- Ikan berlemak (salmon, tuna, sardin): sehingga 3 bulan.
- Ikan kurang lemak (halibut dan seumpamanya): sehingga 6 bulan.
- Kebanyakan ikan dalam freezer rumah: sekitar 3 hingga 4 bulan untuk kualiti terbaik.
- Ikan yang divakum (vacuum sealed): boleh bertahan sehingga 1 tahun jika disimpan dengan betul.
Walaupun ikan masih selamat disimpan dalam freezer, kualiti rasa dan teksturnya akan semakin menurun jika terlalu lama dibekukan.
Jadi, jika anda bercadang untuk membeli ikan dalam kuantiti banyak ketika promosi, pastikan ia dibungkus dengan betul dan cuba gunakan dalam tempoh yang disyorkan supaya rasa dan kesegarannya kekal seperti baru dibeli.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via