Bolehkah Meroyan Berlaku Lama Selepas Bersalin?
Penyakit meroyan perlu dipandang serius.
Masalah meroyan sebenarnya merupakan antara komplikasi utama kehamilan, dengan 1 daripada 5 wanita menghadapinya
Walaupun pemahaman masyarakat tentang gangguan psikologi ini kian bertambah baik, masih ramai yang tidak tahu bilakah meroyan mungkin tercetus pada para ibu.
Anda mungkin menjangkakan simptom meroyan muncul sejurus selepas kelahiran. Tetapi tidak semua wanita yang mempunyai masalah Perinatal Mood and Anxiety Disorder, PMAD atau meroyan mengalami simptomnya sejurus selepas melahirkan.
Sesetengah simptom bermula dalam setahun hingga 18 bulan selepas kelahiran terutamanya sewaktu perubahan hormon. Wanita ini juga mungkin mempunyai simptom yang berterusan yang tidak didiagnosis atau tidak dirawat dan dibawa ke kehamilan berikutnya.
Bilakah meroyan mungkin tercetus?
Masalah meroyan sebenarnya bukan sahaja berlaku selepas kelahiran. Ia boleh berlaku sewaktu kehamilan atau dalam waktu selepas kelahiran, terutamanya semasa perubahan hormon yang signifikan.
Waktu perubahan hormon yang ketara tentulah sewaktu kehamilan, bersalin, dan beberapa waktu lain yang selalu dilupakan ialah ketika wanita tersebut datang haid kali pertama selepas bersalin, sewaktu melakukan pencegahan kehamilan dengan hormon, dan sewaktu berhenti menyusu. Ketiga-tiga waktu ini adalah waktu peralihan hormon yang ketara.
Jika wanita tersebut hanya berhenti menyusu setelah dua tahun, bererti berlaku perubahan hormon yang ketara pada waktu tersebut juga. Jadi, wanita tersebut berisiko mengalami masalah kemurungan atau meroyan dalam bentuk lain (keresahan, obsesif kompulsif, psikosis dll) dua tahun selepas bersalin!
Mengapa wanita tidak mendapatkan rawatan?
Salah satu punca wanita tidak mendapatkan rawatan ialah kerana kurang maklumat atau kurang pengetahuan mengenai masalah ini. Mereka mungkin berfikir jika simptom-simptom tidak bermula dengan segera bererti ini bukanlah masalah meroyan. Contohnya pesakit mungkin berasa murung, kerap menangis, mudah marah kepada suami, rasa serba tidak kena sewaktu bayi sudah berusia 4 bulan.
Wanita yang mendapati simptom lewat mungkin tidak mengenal pasti simptom sebagai kecelaruaan mood dan keresahan perinatal. Mereka mungkin menganggapnya sebagai keletihan semata, dan tidak mendapatkan rawatan kerana memperkecilkan simptom yang mereka hadapi.
Satu lagi halangan ialah rasa malu terhadap ketidakmampuan diri menguruskan bayi dan pasangan terutama jika ini adalah perubahan besar dalam personaliti dan keupayaannya. Wanita tersebut juga mungkin tidak merasa selesa bercakap dengan rakan-rakannya tentang kesedihannya apabila rakannya semua bercakap tentang kegembiraan mereka menghadapi waktu selepas mempunyai bayi.
Bagaimana mendapatkan bantuan?
Setiap ibu bapa mungkin merasa tertekan dan penat, tetapi mereka boleh membezakannya dengan keadaan yang lebih serius melalui kekerapan, intensiti dan tempoh masa perasaan tersebut berlangsung.
Jika ia berterusan, jika tempohnya lebih panjang, dan emosi anda lebih dalam daripada biasa, ini mungkin menunjukkan tanda amaran. Contohnya anda mungkin berasa terlalu tertekan sehingga tidak mahu keluar daripada rumah atau tidak membenarkan orang lain menyentuh anak anda.
Sebaik sahaja seorang wanita telah mengenal pasti diri mereka mungkin mengalami masalah PMAD, dapatkan bantuan professional. Namun, satu masalah yang harus anda tahu ialah tidak semua doktor dilatih untuk mengenal pasti masalah PMAD, lebih-lebih lagi jika anda mengalami simptomnya setelah beberapa bulan bersalin. Oleh itu, pastikan anda menghubungi ahli terapi yang pakar dalam bidang ini. Anda juga boleh menyertai kumpulan sokongan dalam talian.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh SAYS atas keizinan
Hello Doktor: Laman web rasmi | Facebook