Rakyat India Lancar #BoycottMalaysia Ekoran Naik Angin Tun M Kata Kashmir Diceroboh India

Semuanya gara-gara Tun Mahathir berkata bahawa wilayah Jammu dan Kashmir telah ‘diceroboh dan diduduki’.

Buat pengguna tegar laman Twitter, pasti perasan yang #BoycottMalaysia muncul antara topik trending terkini di laman itu

Buat yang tidak tahu menahu tentang isu ini, hal ini berikutan kenyataan yang disampaikan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 baru-baru ini.

Image via PMO

Mengulas mengenai krisis Rohingya di Rakhine dan Palestin di Gaza yang sudah kian lama berlanjutan, Tun Mahathir kemudian menyatakan bahawa wilayah Jammu dan Kashmir juga telah ‘diceroboh dan diduduki’.

Dalam kenyataannya, beliau menggesa India dan Pakistan untuk bekerjasama dalam menyelesaikan masalah di antara mereka dengan cara damai.

Beliau menganggap kegagalan menyelesaikan masalah secara aman akan mengabaikan tujuan PBB dan undang-undang yang termaktub.

"Walaupun sudah ada resolusi PBB meminta kedua negara untuk mengambil tindakan, namun krisis Jammu dan Kashmir terus berlanjutan," kata Tun Mahathir dalam akaun Twitternya, @chedetofficial.

Meskipun begitu, kenyataan tersebut telah mencetuskan kemarahan netizen negara India

Netizen India kemudiannya melancarkan tanda pagar #BoycottMalaysia kerana beranggapan seolah-olah kenyataan Tun Mahathir menyokong Pakistan.

Menerusi tanda pagar itu, mereka menyeru rakyat India untuk memutuskan hubungan perdagangan serta tidak lagi melancong ke Malaysia, sebaliknya pergi ke negara Asia Tenggara yang lain.

Perkara ini sudah tentu mendapat perhatian rakyat kita sendiri yang mana rata-rata netizen Malaysia menyuarakan pendapat dan bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir.

Kashmir merupakan sebuah wilayah kecil terletak di barat laut benua kecil India

Ia merujuk kepada lembah yang terletak di antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling utara negara India.

Image via BBC Indonesia

Pada masa ini, secara geopolitiknya, Kashmir terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Jammu dan Kashmir yang ditadbir oleh India, meliputi lembah Kashmir serta Jammu dan Ladakh. Kawasan-kawasan Utara dan Azad Kashmir pula ditadbir oleh Pakistan, dan Rantau Aksai Chin dan Laluan Trans-Karakoram yang ditadbir oleh China.

Image via Akurat

Walaupun kawasan-kawasan tersebut dikuasai oleh ketiga-tiga negara terbabit, tetapi India mahupun Pakistan tidak pernah mengiktiraf pemilikan antara satu sama lain ke atas kawasan-kawasan yang menjadi pertikaian.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment