seismik

Sering Rasa Murung & Tertekan? Cara-Cara Ini Dapat Bantu Merawat Kesihatan Mental Anda!

Senarai ini adalah bermula dengan kaedah dan kadar yang berpatutan.

Cover image via Hello Doktor

Mengikut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seseorang yang sihat adalah mereka yang sihat kedua-duanya, fizikal dan juga mental

Image via Tart Nenas

Kesihatan mental mengikut WHO ditakrifkan sebagai keadaan kesejahteraan seseorang itu di mana dia berupaya menyedari potensi dirinya, dapat mengatasi tekanan dalam kehidupan, dapat bekerja secara produktif, dan mampu memberikan sumbangan kepada dirinya dan masyarakat.

Terdapat dua faktor penyumbang kepada masalah mental, iaitu persekitaran dan genetik. Faktor persekitaran merujuk kepada pengaruh luaran seperti tekanan hidup yang melampau sama ada dari sudut sosial dan kewangan, melalui peristiwa yang sangat buruk dalam kehidupan serta masalah perhubungan manakala genetik pula merujuk kepada faktor keturunan serta personaliti seseorang. 

Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari

Image via The Rakyat Post

“Perubahan kelakuan seseorang juga boleh menjadi tanda individu itu mengalami masalah kesihatan mental. Antara tanda-tanda utama seperti gangguan tidur, hilang selera makan, menyendiri, hilang tumpuan semasa membuat pekerjaan, merasa bersalah secara berlebihan dan perasaan seolah-olah diri sudah tidak bernilai," jelas Dr. Muhammad Muhsin, Pakar Psikiatri Pusat Pakar Universiti Malaya dalam satu temubual.

Menurut beliau masyarakat atau ahli keluarga terdekat boleh mengenali individu itu sama ada mengalami masalah kesihatan mental di tahap serius atau tidak berdasarkan kelakuannya.


Namun begitu, individu yang mempunyai masalah mental kebanyakannya pilih untuk tidak berjumpa dengan pakar kerana beranggapan ia hanya untuk orang yang hilang akal atau gila

Persepsi ini bagaimanapun perlu diperbetulkan segera kerana mereka yang bergelut dengan kesihatan mental perlu mendapatkan bantuan dengan kadar segera daripada pihak klinik atau hospital.

Jika rawatan dilakukan pada peringkat awal, penyakit mental ini akan sembuh dengan lebih baik di samping dapat mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku.

Berikut adalah cara-cara untuk mendapatkan rawatan bagi kesihatan mental:

1. Ketika dalam kecemasan

Image via Shutterstock

Jika anda atau seseorang yang dikenali ingin atau cuba untuk membunuh diri, gegas ke unit Kecemasan di hospital terdekat.

Anda juga boleh menghubungi ambulans di talian 112, atau organisasi terlibat.

Organisasi yang boleh dihubungi sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali yang sedang mengalami kemurungan dan mempunyai kecenderungan membunuh diri:

Befrienders Kuala Lumpur - 03-7956 8144

Befrienders Penang - 04-281 5161

Befrienders Melaka - 06-284 2500

Befrienders Ipoh - 05-547 7933

Befrienders Seremban - 06-765 3588

Persatuan Lifeline Malaysia - 03 -9285 0039, 03-9285 0279, 03-9285 0049

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia - 03-7782 5499

2. Kaunselor di tempat anda

Image via UBK SMK Ringlet

Profesional pertama yang anda boleh dekati ialah kaunselor di sekolah, universiti atau tempat kerja anda.

Anda boleh memberitahu mereka tentang masalah yang anda hadapi dan menanyakan langkah-langkah selanjutnya yang perlu diambil, terutamanya jika anda memerlukan rawatan lanjut.

3. Pusat Kesihatan Mental Komuniti (Mentari)

Mentari merupakan sebuah pusat kesihatan mental masyarakat inisiatif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mentari menawarkan perkhidmatan seperti Perkhidmatan Pesakit Luar, Perkhidmatan Psikiatri Komuniti dan Perkhidmatan Rehabilitasi yang turut menyediakan Ujian Saringan awal bagi pesakit yang belum mempunyai diagnosis.

Program rehabilitasi dan terapi carapulih kerja adalah satu faktor yang penting dalam pemulihan pesakit psikiatri.

Perkhidmatan ini disediakan untuk pesakit Psikiatri Am, Geriatrik, Kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kesihatan mental bertujuan untuk mengurangkan jangkamasa rawatan di wad, membuat intervensi rawatan susulan di rumah selepas konsultasi dengan pakar, membuat penilaian psikososial, memperkasakan sokongan keluarga atau penjaga pesakit melalui pendidikan kesihatan dan mengesan gejala-gejala awal penyakit yang dikhuatiri akan berulang.

Anda boleh mendapatkan pemeriksaan dan pengesanan awal di pusat Mentari terdekat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian-talian tersenarai:

4. Klinik Kesihatan Awam

Image via Kosmo

Anda boleh berjumpa dengan doktor am di klinik kesihatan kerajaan bagi mendapat konsultasi dan pemeriksaan, selalunya melalui ujian saringan minda. Anda boleh terus ke klinik dan berdaftar dengan bayaran hanya RM1.

Tempoh menunggu bergantung pada kawasan klinik tersebut dan juga waktu yang anda pergi kerana ianya berbeza bagi setiap klinik.

Jika anda ingin berjumpa dengan doktor psikiatri, sila minta doktor am anda surat rujukan untuk ke hospital terdekat yang mempunyai unit psikiatri dan kesihatan mental. Di sana, anda boleh mendapatkan rawatan selanjutnya seperti terapi dan perubatan.

Pastikan untuk tanya perkhidmatan yang disediakan seperti akses kepada kaunselor dan pakar psikologi klinikal di hospital tersebut, terutamanya jika anda ingin jauhkan diri dari mengambil ubatan. Namun begitu, tidak ada masalah sekiranya anda pilih untuk mengambil ubatan.

Di bawah merupakan link untuk senarai klinik kesihatan kerajaan seluruh negara dan senarai hospital kerajaan dengan unit psikiatri:

1. Senarai Klinik Kesihatan Kerajaan Di Malaysia
2. Senarai Hospital Kerajaan Dengan Unit Psikiatri

5. Perkhidmatan kaunseling dan psikiatri

Image via Sixth Tone

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia atau Malaysian Mental Health Association (MMHA) ada menyediakan senarai-senarai perkhidmatan kerajaan dan swasta yang terdapat di Malaysia.

Perkhidmatan yang disediakan ini ada yang percuma dan ada yang berbayar dan ianya merangkumi perkhidmatan untuk masalah wanita dan kanak-kanak, keluarga, perkahwinan dan kewangan.

Di samping itu perkhidmatan yang disediakan ini juga berdasarkan komuniti seperti yang menggunakan bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil dan Arab dan juga perkhidmatan khusus bagi komuniti beragama Buddha atau Kristian.

Di bawah merupakan link untuk senarai perkhidmatan kaunseling dan psikiatri awam dan swasta di seluruh Malaysia:

1. Senarai Perkhidmatan Kaunseling Awam dan Swasta
2. Senarai Perkhidmatan Psikiatri Awam dan Swasta

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua!

Sebagai masyarakat yang berilmu, kita perlulah peka dan prihatin dengan sekeliling kita dan membantu mereka yang bergelut dengan masalah kesihatan mental tanpa menyinggung perasaan mereka. Boleh semua?

Image via Giphy

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca perkongsian lelaki ini tentang rawatan masalah kesihatan mental yang dialaminya

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik: