Dah Bersedia Nak Puasa Esok? Jom Semak 7 'Checklist' Ini Dulu
Selamat berpuasa!
Kurang sehari saja lagi, Ramadan bakal menjelang tiba. Kata orang '"pejam celik pejam celik" setahun sudah pun berlalu
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh barakah yang mana pada bulan inilah seluruh umat Islam berlumba-lumba untuk meraih pahala bukan sahaja dengan berpuasa malah amalan-amalan sunat yang lain.
Bak kata orang "siapa buat dialah yang dapat!"
Tetapi sebelum itu, bersediakah kita semua nak menyambut Ramadan kali ni? Jom kita cek sikit checklist yang perlu kita buat sebelum Ramadan kali ni:
1. Jaga kesihatan
Perkara paling utama yang perlu anda titik beratkan ialah kesihatan. Kita perlu menjaga kesihatan untuk memastikan kita dapat melakukan ibadah puasa dengan baik dan lancar. Elakkan melakukan perkara yang menjejaskan kesihatan anda. Ambil peluang untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin. Dengan kesihatan yang baik, InshaAllah kita juga dapat melaksanakan ibadah sunat yang lain seperti solat tarawih.
2. Semak hukum dan rukun puasa
Adalah penting untuk kita menyemak semula hukum hakam, rukun, perkara-perkara membatalkan puasa dan sebagainya. Yelah, puasa ini kan setahun sekali. Mungkin ada part yang kita dah lupa. Ini adalah untuk memastikan ibadah yang kita lakukan tidak sia-sia.
3. Ambil tahu amalan-amalan sunat
Waktu bulan puasa inilah kita nak meraih banyak pahala sebab bulan Ramadan adalah bulan yang penuh rahmat. Jadi apa kata kita ambil tahu semula amalan-amalan sunat yang boleh kita lakukan sewaktu berpuasa ni. Contohnya membaca al-quran, solat-solat sunat dan banyak lagi. Setidak-tidaknya kita sudah pun bersedia untuk menjalankan aktiviti harian ketika di bulan ramadan nanti.
4. Sentiasa berdoa
Walaupun bulan Ramadan bakal tiba tak lama lagi, apa kata sering berdoa "Allahumma Ballighna Ramadhan". Semoga kita semua berpeluang untuk bertemu Ramadan kali ini. Lagi banyak lagi bagus sebab berdoa kan dapat pahala?
5. Mujahadah bangun malam
Dalam ilmu tasawwuf, mujahadah lebih menitikberatkan kepada usaha melawan hawa nafsu secara bersungguh-sungguh untuk mencapai reda Allah. Orang yang bermujahadah dipanggil mujahid. Ketika bulan Ramadan ini, digalakkan kita semua untuk bermujahadah dengan berjaga sewaktu malam. Amat malang pada zaman sekarang ini manusia berjaga malam bukan untuk beribadat tapi untuk buat maksiat. Keindahan malam yang mahal harganya ditukar dengan noda dan dosa.
6. Jaga lidah & kurangkan bercakap
Orang kata elakkan melakukan perkara sia-sia sewaktu bulan puasa. Sewaktu berpuasa inilah kita harus menjaga segala tutur kata dan bicara kita. Jaga lidah anda daripada perkara keji seperti mengumpat dan mencaci. Yang mana suka banyak cakap tu, eloklah mula untuk kurangkan dari bercakap perkara yang sia-sia. Ingat, semakin banyak percakapan kita, semakin banyak khilaf yang kita lakukan.
7. Mengingatkan antara satu sama lain
Dah baca semua perkara di atas? Okay langkah terakhir yang perlu anda lakukan adalah mengingatkan antara satu sama lain. Ini adalah kerana untuk memaklumkan betapa pentingnya persediaan untuk menyambut Ramadhan. Bukan saja fizikal dan mental saja perlu bersedia, namun setiap niat yang terdetik di hati juga perlu dititik beratkan.