"Cipta Sejarah" - Kenali Tiga Pengadil Wanita Yang Bakal Mewarnai FIFA Piala Dunia 2022
Woman power!
Piala Dunia FIFA 2022 yang diadakan di Qatar bermula 20 November lalu menerima sambutan yang hangat daripada penyokong seluruh dunia
Selain itu, penglibatan tiga pengadil wanita dalam saingan Piala Dunia 2022 berkenaan turut mencipta sejarah dan memberi petanda baik buat sukan serta negara Arab.
Untuk pengetahuan anda, Yoshimi Yamashita, Salima Mukansanga dan Stephanie Frappart adalah antara 36 pengadil yang terpilih untuk bertugas pada kejohanan itu yang bermula dari 20 November hingga 18 Disember ini.
Yoshimi Yamashita
Pengadil Jepun, Yoshimi Yamashita hadir pada Piala Dunia kedua berturut-turut selepas beliau bertugas pada Piala Dunia Wanita 2019 di Perancis. Dia turut mengadili perlawanan antara Amerika Syarikat (AS) dan Sweden pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada 2021.
Namun, bertugas di Qatar bukanlah satu-satunya masa beliau mencatat sejarah tahun ini. Yoshimi turut mengadili aksi kemenangan 2-1 Melbourne City ke atas Jeonnam Dragons dalam Liga Juara-Juara AFC dan kemenangan 2-0 FC Tokyo ke atas Kyoto Sanga dalam Liga J1 dan muncul sebagai pengadil wanita pertama melakukannya.
"Langsung tidak ada seorang pengadil wanita di Timur Tengah, jadi saya mahu melihat ia berubah dengan Piala Dunia Qatar sebagai pemangkin. Hakikat wanita bertugas buat kali pertama pada Piala Dunia lelaki satu peringatan kepada orang lain potensi wanita sentiasa berkembang dan itulah yang saya rasakan," katanya.
Salima Mukansanga
Pengadil Rwanda, Salima Mukansanga sudah bertugas bersama FIFA sejak 2012. Namun sebagai seorang gadis, impiannya adalah untuk bermain bola keranjang secara profesional.
"Saya sukakan bola keranjang dan mahu menceburinya secara serius. Namun, kemudahan untuk bermain bola keranjang amat sukar untuk saya, itulah sebabnya saya menjadi pengadil, sesuatu yang saya tidak pernah kesalkan," katanya.
Keputusan itu juga menyaksikannya bertugas pada Piala Dunia Wanita 2019, Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kini Qatar 2022. Salima bukanlah asing dengan bola sepak peringkat tertinggi apabila beliau turut mengadili aksi Piala Negara Afrika lelaki awal tahun ini.
Stephanie Frappart
Pengadil Perancis, Stephanie Frappart ternyata salah seorang daripada nama terkenal disenaraikan bagi Piala Dunia akan datang. Pegawai berusia 38 tahun itu mempunyai karier yang dipenuhi sebagai yang pertama melakukannya termasuk di Qatar.
Stephanie bermula dengan final pertamanya pada Piala Dunia 2019 di Perancis dan kemudian mengadili final Piala Super UEFA pada tahun sama. Pada 2020, beliau terus melonjak dalam dunia pengadilan, melakar namanya dalam buku sejarah sebagai pengadil wanita pertama mengadili aksi Liga Juara-Juara lelaki.
Sebelum diumumkan sebagai sebahagian perancangan bagi Qatar 2022, beliau turut mengadili final Piala Perancis 2022. Keupayaan Stephanie mengendalikan aksi di tengah padang ternyata mendapat pengiktirafan apabila beliau memenangi anugerah Pengadil Terbaik Wanita Dunia IFFHS tiga tahun berturut-turut sejak 2019.
"Ia satu petanda kukuh daripada FIFA dan pihak berkuasa untuk mempunyai pengadil wanita di negara itu," katanya.
Wow, hebat betul mereka bertiga ini. Bukan senang nak jadi pengadil untuk perlawanan sebesar ini. Terbaiklah!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!