CMCF Sambut Baik Seruan PM Supaya Industri Kreatif Diberi Lebih Kebebasan Berkarya
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan kreatif akan membantu memastikan industri seni kekal relevan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menyambut baik seruan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang mahu penggiat filem tempatan diberikan lebih ruang dan kebebasan untuk berkarya
Menurut CMCF, seruan itu membuka ruang kepada industri kreatif tempatan untuk berkembang secara yakin tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap penonton. Aspek penting yang perlu diberi perhatian merangkumi kawal selia kendiri yang kukuh, pengelasan kandungan yang jelas, kawalan ibu bapa yang mudah digunakan, serta akauntabiliti pemain industri.
Pengerusi CMCF merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali, berkata industri kreatif memerlukan kepastian bagi membolehkan pengkarya dan pelabur membuat keputusan dengan berani.
"Kalau kita mahu karya Malaysia pergi lebih jauh, industri perlu ada keyakinan untuk mencuba, melabur dan menghasilkan sesuatu yang berbeza. Sebab itu piawaian yang jelas sangat penting. Bila hala tuju dan batasnya jelas, pengkarya lebih yakin untuk meneroka idea yang lebih berani.
"Dalam masa yang sama, industri juga perlu menunjukkan bahawa kebebasan itu datang dengan tanggungjawab. Kalau kawal selia kendiri dan akauntabiliti kita kukuh, lebih mudah untuk membina keyakinan dan memberi industri ruang yang lebih besar untuk berkembang," katanya.

Pengerusi CMCF dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali.
Image via CMCFCMCF sokong ruang berkarya terbuka & perlindungan penonton
CMCF turut menyambut baik pendekatan terbuka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang memberi penekanan kepada pengelasan umur. Langkah ini membolehkan pembikin filem mengekalkan keutuhan karya sementara penonton mendapat maklumat yang cukup.
Naib Pengerusi CMCF merangkap Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dato' Afdlin Shauki, menegaskan pembikin filem memerlukan ruang untuk membawa paparan realiti masyarakat.
"Sebagai pembikin filem, ada masanya kita perlu bercerita tentang perkara yang sukar, sensitif atau tidak selesa. Itu sebahagian daripada kehidupan dan masyarakat kita. Sebab itu perkembangan yang kita lihat sekarang sangat dialu-alukan.
"Beri penonton maklumat yang cukup untuk mereka tahu apa yang bakal ditonton dan siapa yang sesuai menontonnya. Pada masa yang sama, beri pembikin filem ruang untuk bercerita dengan jujur dan bertanggungjawab," jelas beliau.

Naib Pengerusi CMCF merangkap Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki.
Image via CMCFMemandangkan kandungan kini bergerak merentasi pawagam, televisyen, penstriman, dan platform digital, CMCF menggesa penyedia platform menyediakan ciri keselamatan mesra pengguna seperti profil kanak-kanak, kawalan PIN, tetapan umur, dan penapisan kandungan.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, turut mengingatkan ibu bapa supaya mengambil serius pengelasan umur dan tidak membawa kanak-kanak menonton kandungan yang tidak sesuai.
"Ibu bapa juga perlu mengambil serius pengelasan dan penarafan umur. Kita masih melihat kanak-kanak dibawa menonton kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka, sedangkan pendedahan kepada kandungan tertentu boleh memberi kesan yang memudaratkan.
"Seruan Perdana Menteri ini memberi isyarat yang sangat positif kepada industri kreatif. Ia menunjukkan bahawa ada ruang untuk Malaysia bergerak ke arah pendekatan yang lebih matang, yang memberi kepercayaan kepada pengkarya sambil memastikan tanggungjawab kepada penonton terus terpelihara," tambah Mediha.
CMCF bersedia menghimpunkan semua pemegang taruh daripada pembikin filem, penyiar, platform digital, hingga pakar keselamatan kanak-kanak bagi memperkukuh ekosistem kandungan tempatan yang adil dan dipercayai.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via