Ditemui Di Flores Selepas 22 Tahun Hilang, Wanita Malaysia Akhirnya Pulang Ke Pangkuan Keluarga
Alhamdulillah, penantian yang tak sia-sia.
Cover image via Berita RTMFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas lebih dua dekad menanti, sebuah keluarga akhirnya menerima berita yang mereka impikan selama ini
Seorang wanita Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 2004 akhirnya berjaya ditemui di Flores, Indonesia sebelum selamat dibawa pulang ke tanah air pada malam tadi.
Menurut laporan Berita RTM, Mariam Mohamad Nazeri tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sekitar jam 10 malam menaiki penerbangan Batik Air Malaysia dari Indonesia, sekali gus menamatkan penantian panjang keluarganya yang tidak pernah berhenti mencari.
Kali terakhir hubungi keluarga pada 2011
Menurut anak saudaranya, Norshamsiah Zainal Abidin, Mariam dipercayai meninggalkan Malaysia ke Indonesia bersama anak perempuannya pada tahun 2004 sebelum hubungan dengan ahli keluarga terputus.
Keluarga masih menerima satu panggilan daripada Mariam pada 2011. Ketika itu, beliau dikatakan berada dalam keadaan tertekan dan merayu supaya dibantu pulang ke Malaysia.
Namun selepas panggilan tersebut, mereka sekali lagi kehilangan jejaknya. Tidak mahu berputus asa, keluarga menggunakan pelbagai cara untuk menjejaki Mariam.

Mereka mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan Malaysia (PEKEMAS), Wisma Putra, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kedutaan Malaysia di Indonesia, selain memanfaatkan media sosial dan bantuan penduduk tempatan di Flores.
Menurut Norshamsiah, usaha itu bukan mudah kerana Flores mempunyai banyak pulau dan kampung, menyebabkan pencarian mengambil masa yang sangat lama.
Bagi meningkatkan peluang, keluarga turut membina rangkaian dengan masyarakat tempatan yang membantu menyalurkan maklumat sehingga Mariam akhirnya berjaya ditemui.
Sempat ditempatkan di bawah jagaan sementara
Selepas ditemui, Mariam ditempatkan di bawah jagaan sementara di Flores sementara proses dokumentasi bersama Kedutaan Malaysia di Jakarta diselesaikan.
Selepas semua urusan selesai, beliau akhirnya berjaya dibawa pulang ke Malaysia.
Dalam masa sama, Penasihat PEKEMAS, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan usaha membawa pulang Mariam melibatkan kerjasama pelbagai agensi.
Malah, kepulangannya yang pada asalnya dijadualkan lebih awal terpaksa ditangguhkan susulan gangguan perjalanan akibat aktiviti gunung berapi di Indonesia.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Mariam selamat menjejakkan kaki semula di tanah air.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


