3 Doktor Dedah Minum Terlalu Banyak Air Putih Bukan Penyebab Kurus, Boleh Jadi Punca Sawan
Minum 2-3 liter sehari, cukup!
Baca dan dengarlah mana-mana tips kuruskan badan, salah satu daripada tips-nya mesti kena minum air kosong dengan banyak
Hal ini kerana air boleh meningkatkan rasa kenyang di samping meningkatkan kadar metabolik badan. Selain itu, memang tidak dapat dinafikan terdapat banyak lagi kelebihan meminum air kosong, atau air masak.
Sekiranya seseorang itu tidak kekal hidrat atau cukup air, prestasi fizikal badan akan berkurang lalu menyebabkan rasa lemah badan. Selain itu, otak kita juga sangat bergantung kepada air. Dengan mengekalkan badan dalam keadaan hidrat boleh menyumbang kepada pemikiran dan daya berfikiran yang lebih baik.
Kita biasanya disarankan agar meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong setiap hari. Walau bagaimanapun ianya bergantung kepada keadaan dan situasi juga. Selain itu, perlu diingat bahawa 60% daripada badan kita sudah pun berasaskan air/cecair.
Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa meminum terlalu banyak air boleh memberikan kesan buruk kepada organ dalaman kita
Perbincangan ini sebenarnya telah timbul di laman Twitter gara-gara seorang lelaki telah berkongsikan tips pengambilan air kosong kononnya demi kesihatan diri.
Meskipun begitu, kuantiti air kosong yang diambilnya agak keterlaluan iaitu sebanyak 7 liter/sehari, menyebabkan ramai mula mempersoalkannya.
Tidak mahu perkara ini mempengaruhi orang ramai, seorang doktor bernama Pami Nordin telah tampil berkongsikan pendapatnya tentang perkara ini.
Menurutnya, pengambilan air berlebihan akan akan memberi beban kepada buah pinggang lalu menyebabkan air kencing berubah menjadi putih atau jernih, yang sebenarnya adalah petanda seseorang itu terlebih air.
Kuantiti air yang perlu diambil setiap orang sebenarnya bergantung kepada pelbagai faktor seperti berat badan, jantina, persekitaran dan lain-lain.
Jelas doktor ini lagi, dia sendiri pernah berhadapan dengan situasi dimana seorang gadis terkena sawan gara-gara mengambil 10 liter air/sehari, kerana inginkan kulit yang cantik.
Fakta sawan ini kemudiannya telah dikuatkan lagi oleh seorang doktor yang cukup popular di media sosial, Dr. Rafidah Abdullah
Menurut doktor pakar buah pinggang itu, pengambilan air secara berlebihan juga bukanlah langkah yang betul sekiranya mahu mengurangkan berat badan. Sebaliknya, kaedah bersenam adalah lebih baik untuk mendapatkan berat badan yang ideal.
Tambahnya lagi, beliau sendiri tidak menyukat jumlah air yang diambilnya dan hanya meminum air tatkala terasa haus.
Menurut Dr. Rafidah, terlalu banyak air dalam badan akan menyebabkan sel badan membengkak yang mana akan turut berlaku di dalam otak seseorang itu.
Hal ini kemudiannya menyebabkan seseorang itu berisiko untuk koma dan sawan yang mana keadaan ini dipanggil Hypervolaemic Hyponatraemia (dilutional).
Seorang lagi doktor yang semakin dikenali di laman sosial, Dr. Nimelesh telah menasihatkan orang ramai agar besederhana dalam makan dan minum
Tidak menggunakan istilah kedoktoran, Dr. Nimelesh menggesa orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dengan makanan yang diambil dan dalam kadar yang sederhana. Dia juga telah menggunakan hadith sahih yang diriwayatkan Ibnu Majah dalam nasihatnya.