Kes Terpotong Kepala Zakar Kanak-Kanak Lelaki: Doktor Mengaku Tak Bersalah
Tertuduh berhadapan dengan tiga tuduhan di Mahkamah Majistret Kajang.
Seorang doktor yang dikatakan telah mendatangkan kecederaan parah kerana terpotong bahagian kepala zakar seorang kanak-kanak lelaki mengaku tidak bersalah
Memetik laporan Harian Metro, Dr Azahari Hashim, 52, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Kejadian ini dipercayai berlaku apabila beliau terpotong bahagian kepala kemaluan kanak-kanak lelaki tersebut semasa proses berkhatan menggunakan kaedah laser.
Dr Azahari telah didakwa setelah cuai dan mendatangkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak lelaki yang berumur 10 tahun itu
Beliau boleh dijatuhkan hukuman atas Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau juga dituduh dikatakan menjalankan klinik perubatan swasta yang tidak berdaftar mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.
Beliau turut didakwa tidak mempunyai Sijil Amalan Perubatan yang sah mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971
Kesemua perbuatan beliau itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di No. 6, Jalan CU 15/B, Taman Cheras Utama, Hulu Langat, dekat sini, pada 8.15 malam, 20 Disember 2017.
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 35 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.
Walaupun ditawarkan dengan jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, tertuduh yang diwakili peguam memohon jaminan rendah
Setelah ditawarkan dengan jaminan yang rendah oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, tertuduh yang diwakili peguam, Al Sabri Ahmad Kabri memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah.
"Semenjak klinik seliaannya ditutup selepas kes tersebut berlaku, beliau tidak mempunyai pendapatan yang tetap," kata beliau.
Mahkamah telah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Januari untuk sebutan kes. Adik lelaki tertuduh membayar wang jaminan itu.