seismik

Doktor Terkejut Buruh Bangladesh Yang Dirawatnya Pakar Dalam Bidang Perubatan

Tapi terpaksa meninggalkan negara sendiri demi kelangsungan hidup.

Cover image via SAYS

Warga Bangladesh yang datang ke Malaysia begitu sinonim dengan pekerjaan dalam sektor 'dirty, difficult, and dangerous' atau 3D

Dalam mana-mana kerja pembinaan sekalipun, warga Bangladesh inilah yang membanting tulang setiap hari menjadi buruh kasar. Mereka sentiasa terdedah kepada persekitaran bahaya, bekerja di bawah terik matahari, dan terpaksa bekerja lebih masa.

Di mata kita, perkara ini sudah menjadi normal. Malah, ramai di antara kita menganggap warga Bangladesh sanggup bekerja dalam sektor 3D disebabkan mereka tidak mempunyai kelulusan dan tidak berpelajaran tinggi.

Tanggapan ini bagaimanapun tidak benar sama sekali.

Dr Goh Aik Ping, seorang doktor dari JB berkongsi satu pengalaman menarik di FB mengenai seorang pesakit warga Bangladesh yang dirawatnya tempoh hari

Gambar sekadar hiasan.

Image via waterkingdom.co.id

Dengan memakai pakaian yang lusuh, siap dengan kasut binaan berwarna kuning ala-ala 'Phua Chu Kang', penampilan warga Bangladesh itu memang menampakkan dirinya sebagai seorang buruh binaan.

Namun siapa sangka, sebenarnya dia amat mahir dalam terma perubatan moden.

Dr Goh menyedarinya apabila warga Bangladesh itu mampu menyebut nama penyakit dan ubat-ubat yang patut digunakan dalam istilah perubatan dengan tepat

Image via whoprofits.org

“Pesakit Bangladesh itu mengadu cirit-birit dan memberitahu yang dia mengesyaki dirinya menghidap ‘disentri’, satu istilah perubatan untuk jangkitan usus. Saya terkejut dan berhenti merawatnya seketika, kemudian saya bertanya bagaimana dia tahu istilah itu, tetapi dia berdiam diri,” tulis Dr. Goh.

Selepas memeriksa pesakit berkenaan, Dr. Goh memberitahunya yang dia telah mengalami keradangan dalam perut, gastroenteritis sebagai punca cirit-biritnya.

Sebelum sempat menerangkan preskripsinya, pesakit Bangladesh itu bertanya jika beliau mempunyai ubat seperti Ciprofloxacin, Metronidazole dan Azithromycin, nama-nama kompleks yang hanya digunakan oleh doktor atau pakar perubatan.

“Saya tertanya-tanya bagaimana lelaki ini boleh tahu nama ubat-ubatan, malah sebutannya juga sangat tepat,” tulisnya.

Akhirnya, identiti sebenar warga Bangladesh itu terjawab. Dia sebenarnya merupakan seorang ahli farmasi dan memiliki farmasinya sendiri di negara asalnya. Malah, adiknya juga seorang doktor.

“Saya belajar farmasi dan adik saya pula seorang doktor. Saya mengambil keputusan meninggalkan Bangladesh ekoran ketidakstabilan politik. Setelah segalanya pulih, saya akan kembali ke sana,” katanya.

Luluh hati Dr Goh mendengar penjelasan beliau. Dia sanggup meninggalkan bangsa dan kerjaya sebenarnya, kemudian datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh binaan, sanggup bekerja di bawah terik matahari dan terdedah kepada bahaya, semuanya kerana kehidupan di sini lebih baik.

“Saya tidak dapat membantunya, sekadar mengeluh sahaja," tulis Dr Goh lagi.

Keadaan negara Bangladesh yang teruk dan ketidakstabilan politik menyebabkan ramai penduduknya berhijrah.

Image via www.telegraph.co.uk

Apa yang terjadi kepada pesakitnya itu membuatkan dia tertanya-tanya bagaimanalah jika rakyat Malaysia berhadapan dengan situasi sama. Adakah kita akan survive?

Image via www.tv14.my

Bagaimana agaknya nasib rakyat Malaysia jika negara sendiri berhadapan dengan ketidakstabilan politik. Adakah kita juga akan merantau ke negara orang yang lebih maju, sanggup menjadi kuli dan buruh semata-mata untuk menikmati hidup yang lebih baik daripada negara sendiri?

LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Juga di SAYS:

You may be interested in: