Dr Sheikh Muszaphar Kongsi 4 Tips Buat Ibu Bapa & Anak-Anak ‘Apply’ SBP & MRSM
Semoga perkongsian ini membantu ibu bapa di luar sana.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Musim permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kembali lagi dan seperti biasa, persaingannya memang bukan calang-calang

Bagi sesi 2027, permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 sudah dibuka bermula 10 Julai hingga 14 Ogos 2026. Namun, di sebalik keputusan cemerlang di sekolah, masih ramai murid yang gagal mendapat tempat kerana proses pemilihannya sangat kompetitif.
Menyedari perkara itu, angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, tampil berkongsi beberapa tip yang boleh membantu ibu bapa dan pelajar membuat persediaan lebih awal menerusi laporan Sinar Bestari.

1. Cemerlang di sekolah belum tentu cukup
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, ramai ibu bapa beranggapan Anugerah Cemerlang atau keputusan peperiksaan yang tinggi sudah memadai untuk melayakkan anak ke SBP atau MRSM.
Hakikatnya, calon yang memohon kebanyakannya juga terdiri daripada pelajar terbaik dari seluruh negara.
"Anak-anak semua bijak-bijak belaka. Hanya yang terbaik akan terpilih," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
2. Jangan sekadar kejar markah, fokus juga Tahap Penguasaan (TP)
Satu perkara yang sering terlepas pandang ialah Tahap Penguasaan (TP). Menurut beliau, ada murid memperoleh markah sehingga 95 peratus tetapi hanya mencapai TP4 kerana kaedah penilaian di setiap sekolah boleh berbeza.
Sebab itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memberi perhatian kepada pencapaian TP sejak Tahun 5, dengan sasaran sekurang-kurangnya TP5 atau TP6 bagi setiap mata pelajaran.
3. Kokurikulum boleh jadi kelebihan besar
Selain akademik, penglibatan dalam kokurikulum juga memainkan peranan penting.
Dr Sheikh Muszaphar menggalakkan murid menyertai pertandingan mengikut minat dan bakat masing-masing, malah jika berpeluang, cuba capai sehingga ke peringkat negeri atau kebangsaan.
Menurutnya, pengalaman seperti ini mampu memberikan nilai tambah ketika proses pemilihan.
4. PKSK adalah penentu utama
Satu lagi perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, PKSK menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan penilaian kemasukan.
Justeru, calon perlu membuat latihan secukupnya, memahami format soalan serta bersedia menghadapi soalan akademik dan juga soalan berkaitan sahsiah serta kehidupan di asrama.
Beliau turut mencadangkan ibu bapa menghantar anak mengikuti kelas tambahan atau tuisyen sekiranya mempunyai kemampuan.
Pilih sekolah dengan strategi, bukan ikut trend
Selain persediaan akademik, Dr Sheikh Muszaphar turut menasihatkan ibu bapa supaya membuat pilihan sekolah secara strategik.
Beliau mencadangkan pilihan pertama diisi dengan sekolah sasaran utama, manakala pilihan kedua dan ketiga dipilih berdasarkan tahap persaingan yang lebih sesuai dengan kemampuan anak.
Bagaimanapun, jika anak mempunyai rekod akademik dan kokurikulum yang benar-benar cemerlang, tiada salahnya memilih beberapa sekolah elit sebagai pilihan.
Di akhir perkongsiannya, beliau mendoakan agar semua calon diberikan kemudahan dalam permohonan kali ini.
Apa pun, persaingan untuk memasuki SBP dan MRSM memang sengit setiap tahun. Jadi, selain keputusan yang baik, persediaan awal, strategi yang betul dan usaha yang konsisten boleh menjadi antara faktor yang membezakan calon berjaya dengan calon yang terlepas peluang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via