Dua Pelajar Perempuan MRSM Hilang, Pengerusi MARA Mohon Bantuan & Doa Orang Ramai
Sama-sama kita doakan agar mereka kembali dengan selamat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mohon jasa orang ramai untuk mendoakan kepulangan semula dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang 11 Ogos lalu
Beliau menerusi hantaran di media sosial berkata, doa orang ramai amat diharapkan supaya pelajar Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
"Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan supaya dua pelajar MRSM Alor Gajah yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat," katanya.
Menurut poster hebahan yang disiarkan, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu telah dilaporkan hilang dan lokasi terakhir mereka dilihat ialah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Siti Nur Aaira mempunyai ciri fizikal kulit cerah sederhana atau kecoklatan, badan kurus dan tinggi. Dia dilaporkan kali terakhir memakai baju hitam. Sementara itu, Nur Aisy Humaira pula dilaporkan kali terakhir dilihat memakai pakaian gelap.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua pelajar berkenaan diminta menghubungi nombor telefon yang tertera dalam poster hebahan iaitu 013-299 4303, 019-765 2404 atau 019-2370810.

Pihak polis mohon bantuan orang ramai kesan dua pelajar hilang terbabit
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata pihaknya telah menerima laporan dibuat oleh guru mengenai kehilangan kedua-dua remaja terbabit pada jam 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
"Remaja pertama dikenali sebagai Siti Nur Aaira Aidi, 16, mempunyai ketinggian 157 sentimeter dan berat 50 kilogram. Dia berkulit gelap dan beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
"Remaja kedua pula dikenali sebagai Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, mempunyai ketinggian dan berat sama serta berkulit cerah, alamat terakhir Nur Aisy Humaira adalah di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor." katanya.
Difahamkan, polis sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua remaja terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via