Enam Tahun Menanti, Ibu Murid Maut Jatuh Bas Reput Akhirnya Dapat Keadilan
Kejadian berlaku pada jam 11.40 pagi pada 4 Julai 2019.
Cover image via NSTP/Nor Amalina AliasFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang ibu akhirnya mendapat keadilan untuk kematian anaknya yang terlibat dalam insiden maut terjatuh melalui lantai bas reput ketika mengikuti lawatan sekolah
Menerusi laporan Harian Metro, selepas enam tahun, Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan, mendapati beberapa pihak bertanggungjawab terhadap kematian seorang murid berusia 12 tahun yang terjatuh ketika melalui lantai bas reput semasa mengikuti lawatan sekolah.
Hakim Mohd Rosli Yusoff dalam penghakimannya mendapati pemandu bas, pemilik bas, guru besar sekolah serta pihak berkuasa pendidikan cuai sehingga menyebabkan kematian Wan Mohammed Adam Mohd Suria.
Mahkamah memerintahkan bayaran ganti rugi RM17,573 kepada ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamed, selepas dia berjaya membuktikan tuntutan berdasarkan imbangan kebarangkalian. Mahkamah turut memutuskan defendan secara kolektif bertanggungjawab sepenuhnya, iaitu 100 peratus, terhadap kematian mangsa.
Kejadian berlaku pada jam 11.40 pagi pada 4 Julai 2019 ketika Adam bersama 30 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang, Kelantan, dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Besut, Terengganu.
Mereka dalam perjalanan untuk menyertai program English Booster Week UPSR 2019 di bawah Program Empower ECER Academic Training yang dianjurkan Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
Image via NSTPAdam terjatuh sebelum tercampak ke jalan di Kilometer 12, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik dan meninggal dunia di tempat kejadian
Dalam alasan penghakiman bertarikh 9 Ogos, Mohd Rosli berkata kemalangan boleh dielakkan sekiranya pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, menjalankan kawalan sewajarnya terhadap murid sepanjang perjalanan.
"Kemalangan dalam kes ini boleh dielakkan sekiranya beliau bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak berkenaan daripada berjalan dan bergerak ke sana sini sepanjang perjalanan. Beliau juga boleh memberhentikan bas sekiranya ada kanak-kanak yang enggan mematuhi arahannya," katanya.
Hakim turut mendapati pemilik bas, Mohamad Che Su, melanggar tanggungjawab berjaga-jaga dengan membenarkan murid menaiki bas yang mempunyai lantai reput dan rosak.
"Mahkamah berpuas hati bahawa bahagian hadapan lantai bas tempat mangsa terjatuh sememangnya reput dan tidak kukuh. Sekiranya pemilik bas menggantikan keseluruhan lantai bas dengan lantai baharu dan kukuh, kejadian ini tidak akan berlaku walaupun kanak-kanak berjalan atau melompat di dalam bas," katanya.
Mahkamah turut mendapati guru besar ketika itu, Ahmad Sanusi Ramlee, cuai kerana gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan murid. Mahkamah mendapati tiada guru pengiring disediakan, manakala pegawai pengiring yang dikatakan telah diatur oleh pihak penganjur juga tidak hadir.
"Guru besar bukan sahaja gagal menyediakan guru pengiring, malah gagal memastikan kehadiran pegawai pengiring yang dikatakan disediakan oleh pihak penganjur," katanya.

Bahagian lantai bas sekolah berlubang menyebabkan Wan Mohammed Adam terjatuh.
Image via NSTP/Nor Amalina AliasWalaupun program terbabit tidak dianjurkan sepenuhnya oleh pihak sekolah, ia diluluskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan membabitkan murid SK Tok Bok
Perkara ini menyebabkan JPN dan kerajaan turut dipertanggungjawabkan secara tidak langsung terhadap kecuaian guru besar berkenaan.
Mahkamah turut mendapati iNED dan UiTM bertanggungjawab selepas didapati gagal menyediakan pegawai pengiring atau fasilitator pada hari kejadian, walaupun seorang kakitangan UiTM dan fasilitator pelajar telah ditugaskan untuk mengiringi murid serta memberikan taklimat keselamatan sepanjang perjalanan.
Plaintif sebelum itu menuntut masing-masing RM1 juta bagi ganti rugi teruk (aggravated damages) dan ganti rugi teladan (exemplary damages), namun kedua-dua tuntutan itu ditolak mahkamah.
Mohd Rosli turut menyatakan simpati kepada keluarga mangsa atas tragedi dan kehilangan yang dialami.
Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan atau menentukan jumlah ganti rugi berdasarkan simpati, sebaliknya terikat kepada fakta, undang-undang dan keputusan mahkamah lebih tinggi terdahulu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


