Gabung Watak Komik & Sains, Buku ‘Pengembaraan Dunia Nuklear’ Tarik Minat Pelajar
Program Advokasi Nuklear memanfaatkan medium berkenaan dengan mengedarkan buku bergambar bertajuk 'Pengembaraan Dunia Nuklear'.
Cover image via MOSTIFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bahan bacaan bercetak terbukti masih memainkan peranan penting dalam memupuk pemahaman sains, khususnya bagi membantu golongan pelajar mendalami topik kompleks seperti teknologi nuklear menerusi pendekatan penceritaan kreatif dan ilustrasi visual
Sehubungan itu, Program Advokasi Nuklear memanfaatkan medium berkenaan dengan mengedarkan buku bergambar bertajuk 'Pengembaraan Dunia Nuklear' kepada pengunjung sempena Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 24 dan 25 Oktober lalu.
Menggabungkan watak komik menarik, bahasa santai, serta aktiviti interaktif, buku berkenaan memudahkan pelajar memahami aplikasi sebenar teknologi nuklear dalam kehidupan seharian, bermula daripada bidang perubatan seperti rawatan kanser sehinggalah kepada sektor pertanian menerusi penghasilan benih padi bermutu tinggi.
Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli menegaskan bahawa buku dan bahan fizikal kekal relevan sebagai pemangkin minat membaca serta penguasaan ilmu yang mendalam meskipun masyarakat kini berdepan perkembangan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). Beliau turut menyatakan keterbukaan PNM untuk memperluas kerjasama bersama Program Advokasi Nuklear pada masa hadapan.

Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli menerima Pek Advokasi Nuklear-daripada Pengurus Bahagian Usahasama Strategik Program Jangkauan Luar Bioeconomy Corporation, Puan Nur Azlinda Salahudin.
Image via MOSTIPegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Farah Fadzehah Hilmi pula menjelaskan bahawa keunikan buku Pengembaraan Dunia Nuklear terletak pada kemampuannya memperkenalkan konsep sains tanpa terikat kepada huraian teknikal yang berat.
"Pengenalan watak komik seperti Proton, Neutron dan Elektron menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik, di samping memudahkan penerangan konsep sains yang kompleks melalui pendekatan analogi," katanya sambil menambah bahawa pemahaman yang jelas memudahkan pelajar berkongsi ilmu tersebut bersama keluarga dan rakan sebaya.
Gabungan bahan bacaan dan aktiviti interaktif program advokasi nuklear
- Bahan Bantu Mengajar & Bacaan Keluarga: Menurut Naib Presiden Kanan Bahagian Usaha Sama Strategik Bioeconomy Corporation, Fadzrin Azwar Abd Aziz, buku tersebut sesuai dijadikan bacaan seisi keluarga manakala Pek Advokasi Nuklear pula membantu guru sebagai bahan bantu mengajar berwibawa yang membina pemahaman berasaskan fakta.
- Pembelajaran Berasaskan Pengalaman: Pengunjung berpeluang mengaplikasikan ilmu pembacaan mereka menerusi aktiviti Misi Eksplorasi Nuklear (escape room), permainan papan Bandar Pintar Nuklear, serta sesi interaksi terus bersama pakar dengan sokongan Knowledge Centre Bioeconomy Corporation melalui inisiatif bioteknologi SciensationBIO.
ㅤ

Sementara itu, anak jati Malaysia yang kini berkhidmat sebagai jurutera Thermal-Hydraulics dalam industri tenaga nuklear di Amerika Syarikat, Ikhwan Khaleb turut berkongsi bahawa minatnya terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) berputik sejak di bangku sekolah rendah, selain menyarankan pelajar memanfaatkan buku serta sumber rujukan profesional untuk memahami realiti kerjaya bidang tersebut.
Diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik, serta Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom, dan Pusat Sains Negara sebagai rakan pelaksana, Program Advokasi Nuklear turut memeriahkan Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi 2026 (E-STI 2026) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) baru-baru ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


