Gadis Dakwa Nyaris Jadi Mangsa Tikam Lelaki Bersenjata Pisau Dalam Tandas Di TBS
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 3.20 pagi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang gadis mendakwa berdepan detik cemas apabila seorang lelaki cuba menyerangnya menggunakan pisau ketika berada di dalam tandas gadis di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), awal pagi tadi, 18 September
Menerusi perkongsian di Threads, gadis berkenaan berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 pagi ketika dia sedang menunggu bas pada jam 4.15 pagi.
Menurutnya, dia ketika itu pergi ke tandas wanita di Aras 3, sebelum dikejutkan apabila seseorang secara tiba-tiba cuba membuka pintu tandas yang sedang digunakannya.
Pada mulanya, dia menyangka individu terbabit mungkin mahu menggunakan tandas dengan segera. Namun, dia mula berasa curiga selepas menyedari dirinya merupakan satu-satunya orang di dalam tandas ketika itu.

Ketika membuka pintu, gadis berkenaan mendakwa dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapannya sambil memegang sebilah pisau di tangan kanan
"Dia tidak memakai pelitup muka, tidak berkata apa-apa dan hanya berdiri betul-betul di hadapan saya," katanya.
Dalam keadaan panik, gadis itu bertindak menolak pintu ke arah lelaki terbabit. Bagaimanapun, pintu tersebut terpantul semula dan menyebabkan dia terjatuh ke lantai.
Ketika mendongak, lelaki berkenaan masih berada di situ sambil memegang pisau. Gadis itu kemudian menjerit sekuat hati sebelum lelaki tersebut dipercayai panik lalu melarikan diri.

Dia segera mengambil beg dan berlari keluar dari tandas sebelum bertanyakan kepada orang berdekatan sama ada mereka ternampak seorang lelaki melarikan diri dari kawasan tersebut.
Katanya, dia sempat melihat lelaki berkenaan menoleh ke belakang sekali, namun ketika itu suspek sudah agak jauh.
Gadis tersebut kemudian membuat laporan kepada kaunter khidmat pelanggan TBS
Seorang kakitangan yang ditemuinya mendakwa kejadian sedemikian merupakan kali pertama mereka mendengarnya berlaku di lokasi berkenaan.
Dia turut bertanyakan mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun dimaklumkan kawasan tersebut tidak diliputi kamera.
Gadis itu kemudian menghubungi balai polis TBS dan dimaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf sistem CCTV sedang dijalankan.
Menurutnya, perkara yang paling merisaukan ialah dia bernasib baik kerana tiada apa-apa berlaku kepadanya ketika kejadian.
"Bagaimana pula esok? Atau lusa? Apa sahaja boleh berlaku, terutama pada awal pagi ketika tidak ramai orang berada di sekitar," katanya.

Dia turut meluahkan kebimbangan mengenai kesukaran untuk membuktikan kejadian sekiranya laporan polis dibuat kerana mendakwa tiada saksi atau rakaman CCTV yang menunjukkan dia diancam dengan pisau, manakala lelaki terbabit berjaya melarikan diri.
Susulan kejadian itu, gadis berkenaan menasihatkan gadis yang melakukan perjalanan seorang diri supaya sentiasa berwaspada dan mempercayai gerak hati masing-masing.
Menurutnya, tempat yang biasanya dianggap selamat seperti tandas awam juga mungkin tidak sentiasa selamat, khususnya ketika seseorang berada seorang diri pada awal pagi.
Dia turut menyeru kaum wanita lain supaya lebih berhati-hati ketika melakukan perjalanan bersendirian.
Sementara itu, pihak TBS turut memberi respon selepas isu tersebut tular

Lihat perkongsian penuh di bawah:
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via