Gempa Bumi Magnitud 3.4 Gegar Gerik Tengah Malam, Penduduk Dakwa Katil & Tingkap Bergegar

Difahamkan, pusat gempa dikesan kira-kira 9 kilometer timur laut Hulu Perak dengan kedalaman 10 kilometer.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Berita Harian & NST

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang berlaku di Temenggor, Gerik di Perak pada tengah malam tadi dilaporkan dirasai penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah berkenaan

Menurut laporan Berita Harian, antara lokasi yang terjejas gegaran ialah Kampung Bagan Baru, Kampung Jong dan Kampung Jagor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada jam 12.06 pagi di koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur.

Pusat gempa dikesan kira-kira 9 kilometer timur laut Hulu Perak dengan kedalaman 10 kilometer.

SAYS.com
Image via Berita Harian

Gegaran berkenaan turut menjadi perhatian penduduk apabila beberapa individu berkongsi pengalaman masing-masing menerusi kumpulan Facebook Kami Orang Gerik Original (K.O.G.O)

Ada yang mendakwa merasai katil, tingkap serta struktur rumah bergegar, manakala sebahagian penduduk pula mendakwa terdengar bunyi sebelum menyedari berlakunya gempa bumi.

Penduduk Kampung Bagan Baru, Mas Zaizeli Ibrahim berkata, dia menyedari kejadian itu selepas kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya merakam bunyi pada waktu berkenaan.

Menurutnya, katil dan tingkap rumah turut dirasai bergegar ketika kejadian.

"Saya ingat ada hantu kacau atas bumbung. Keluar rumah ingat nak suluh atas bumbung, sekali semua jiran pun keluar sebab rasa gegar," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Jagor, Muhd Nafis berkata gegaran tersebut dirasakan seperti sesuatu sedang bergerak di bawah tanah.

SAYS.com
Image via NSTImage via

Pengalaman sama turut dikongsikan penduduk Kampung Jong, Mahani Zahedin yang pada awalnya menyangka bunyi berkenaan berpunca daripada sesuatu yang bergerak di atas bumbung rumah.

"Dekat Kampung Jong pun ada (gegaran), ingatkan ada benda lari-lari atas bumbung rumah," katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Jong, Zamzidah Mat Amin berkata, dia turut merasakan gegaran ketika baru hendak tidur.

Katanya, pada awalnya dia menyangka sesuatu telah jatuh di atas bumbung atau tingkap rumah.

"Rasa seolah-olah kita tengah pening, macam bergoyang. Ingatkan saya seorang sahaja rasa, rupanya pagi ini kecoh pasal gempa ini," katanya.

Kejadian itu bagaimanapun merupakan gempa bumi lemah, dengan pusat gempa berada pada kedalaman 10 kilometer seperti yang direkodkan MetMalaysia.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik