Huuha Production & ASCA Meterai MoU Bakal Anjur Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027
Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 akan mula berlangsung dari 6 hingga 9 November ini.
Cover image via Huuha Production (M) Sdn BhdFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan penggiat industri kopi Asia apabila Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 diperkenalkan sebagai wadah baharu untuk memperluas jaringan perniagaan, perkongsian ilmu, serta peluang kerjasama dalam industri kopi
Kedua-dua acara berkenaan diperkenalkan pada majlis pelancaran di Pavilion Damansara Heights yang menghimpunkan pemain industri, pengusaha kopi, rakan strategik, dan peminat kopi.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia, bagi pihak Ketua Pengarah, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, serta Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur, Kung Suan Ai.
Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Akbal menyifatkan perkembangan budaya kopi tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang mampu memperkenalkan identiti Malaysia kepada pengunjung.
"Budaya kopi di Malaysia mencerminkan kepelbagaian, kreativiti dan keramahan masyarakat kita. Daripada kopi 'O', kopi 'C' dan kopi tarik yang menjadi kegemaran ramai, hinggalah kepada kemunculan kafe-kafe moden yang menawarkan pelbagai jenis kopi dan adunan kreatif, semuanya melambangkan evolusi budaya kopi negara. Evolusi inilah yang memberi peluang kepada pelawat untuk mengenali Malaysia daripada sudut yang berbeza, bukan sahaja melalui tempat dan tarikan pelancongan, tetapi menerusi makanan, minuman dan perniagaan tempatan.
"Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia dapat membawa kisah kopi Malaysia ke peringkat yang lebih luas, selain menghubungkan pemain industri tempatan dengan rangkaian pelancongan dan perniagaan antarabangsa," katanya.

Kerjasama Antarabangsa dan acara kemuncak majlis Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia
Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dan Asia Specialty Coffee Association (ASCA) yang berpangkalan di Korea Selatan turut dimeterai bagi menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027.
Sidang kemuncak tersebut dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 April 2027, serentak dengan Festival Kopi Kuala Lumpur 2027. Penyertaan acara ini dijangka melibatkan pengeluar kopi, pemanggang kopi, pengusaha kafe, usahawan, serta profesional industri dari seluruh Asia.
Kemuncak penganjuran ini bakal menyaksikan penganjuran majlis Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia pada malam 3 April 2027 bagi memberi pengiktirafan kepada kafe dan pengusaha yang mencapai kecemerlangan dalam industri berkenaan.

Sebelum itu, Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 akan mula berlangsung dari 6 hingga 9 November ini, mengetengahkan perjalanan industri kopi tempatan daripada warisan tradisional sehinggalah perkembangan kopi khusus (specialty coffee).
Penganjuran kedua-dua acara ini berpotensi merangsang sektor pelancongan dan gastronomi di Kuala Lumpur serta Selangor. Kesan ekonominya dijangka turut merangkumi sektor perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan, serta pengangkutan.
Semasa majlis tersebut, laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak Kopi Asia turut dilancarkan secara rasmi bagi membolehkan pemain industri dan bakal peserta mendapatkan maklumat lanjut mengenai program serta peluang penyertaan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


