"Ibu Saya Pesakit Kanser Payudara. Adakah Saya Akan Alami Kanser Seperti Ibu Saya Juga?"
Persoalan ini selalu menghantui wanita.
Jika ibu anda mempunyai kanser payudara, anda mungkin tertanya-tanya sama ada anda juga akan mendapat kanser payudara suatu hari nanti
Anda mungkin berasa bimbang setiap kali melakukan pemeriksaan kesihatan dan setiap kali ditanya tentang sejarah kesihatan keluarga anda.
Pemeriksaan genetik dapat menentukan jika anda mempunyai mutasi gen yang meningkatkan risiko kanser payudara atau ovari. Jika ibu dan nenek anda mempunyai kanser payudara, atau jika ahli keluarga yang lain mempunyai kanser payudara atau ovari, ini mungkin bermakna anda mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Mengetahui risiko kanser payudara yang anda miliki tidak sepatutnya membuatkan anda pesimistik dalam hidup. Terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk menangani rasa takut akan risiko yang anda hadapi.
Tingkatkan pengetahuan anda
Kebanyakan kes kanser payudara bukanlah disebabkan genetik warisan. Bahkan ibu dan anak perempuan boleh mengalami jenis kanser payudara yang berbeza. Oleh itu, mengetahui diagnosis jenis kanser payudara yang dihadapi ibu anda bukanlah maklumat terpenting.
Pun begitu, sekiranya ibu anda masih hidup, minta agar diberikan butiran daripada rekod perubatannya. Sekiranya dia telah meninggal dunia dan rekod perubatannya rahsia, cari maklumat yang mungkin disimpannya di rumah atau rujuk kepada keluarga dan saudara terdekat.
Amalkan gaya hidup sihat
Perkara yang paling penting untuk kesihatan anda sekarang adalah dengan kekal mengamalkan gaya hidup sihat. Ini dapat mengurangkan faktor risiko lain. Pastikan pakar kesihatan anda tahu mengenai sejarah kanser payudara dalam keluarga anda.
Jangan membiarkan diri anda hidup dalam kegelisahan dan kerisauan tentang masa depan. Sebaliknya, amalkan sikap optimistik agar kesihatan mental anda turut terjaga. Jangan sempitkan diri anda dengan sejarah kesihatan dalam keluarga anda atau keputusan mammogram anda. Anda lebih daripada itu.
Jangan takut dengan pemeriksaan
Dengan sentiasa menjalani ujian saringan yang disarankan doktor, anda dapat memastikan pengesanan kanser seawal mungkin dan peluang rawatan yang lebih berkesan. Kemajuan dalam rawatan kanser payudara menunjukkan kadar survival sehingga 5 tahun kini sehingga 90% dan jika dikesan sebagai ketumbuhan setempat yang tidak merebak, anda mempunyai kemungkinan 98.7 peratus untuk hidup.
Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh SAYS atas keizinan.
Hello Doktor: Laman web rasmi | Facebook