Jangan Sia-Siakan, Ini 5 Waktu Paling Mustajab Untuk Berdoa Dalam Bulan Ramadan
Banyakkan berdoa dan berzikir pada bulan yang mulia ini.
Bulan Ramadan merupakan satu-satunya masa yang semua umat Islam nantikan pada setiap tahun
Selain dari teruja menyambut syawal yang bakal tiba, banyak ibadah khas boleh dilakukan selain berpuasa contohnya menunaikan solat tarawih, bersahur, qiamullail dan sebagainya.
Bukan itu saja, sebenarnya terdapat beberapa waktu mustajab untuk kita berdoa dalam bulan mulia ini. Bukanlah waktu lain tidak mustajab, cuma bulan Ramadan memberikan keistimewaan lebih buat umat Islam untuk memanjatkan doa pada yang Maha Esa.
Berikut di bawah kami kongsikan lima waktu mustajab untuk berdoa semasa bulan mulia ini:
1. Waktu sahur
Sahur merupakan waktu yang penting untuk kita mengisi perut sebelum mula berpuasa setiap hari. Ia juga merupakan ibadah yang diberi ganjaran oleh Allah SWT. Selain itu, waktu ini juga mustajab untuk berdoa.
Allah SWT berfirman: “Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon ampun.” – Surah Adz Dzariyat: Ayat 18.
2. Waktu azan berkumandang
Sebelum berbuka puasa, kita akan menghidangkan pelbagai juadah di atas meja makan betul tak? Sebenarnya, anda digalakkan berdoa semasa azan berkumandang kerana ia juga adalah waktu yang sangat mustajab.
Rasulullah SAW bersabda: “Doa tidak tertolak pada dua waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan saat perang berkecamuk ketika kedua kubu saling menyerang.” – Hadis riwayat Abu Daud.
3. Semasa berpuasa dan menjelang iftar
Puasa adalah rukun Islam yang ketiga. Setelah seharian menahan lapar dan dahaga, anda digalakkan untuk berdoa semasa dan menjelang waktu berbuka puasa sebagai tanda meraikan setiap hari di bulan Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: (1) orang yang berpuasa hingga ia berbuka, (2) pemimpin yang adil dan (3) doa orang yang dizalimi.” – Hadis riwayat Ibnu Tarmidzi.
4. Malam Lailatul Qadar
Lailatul Qadar merupakan malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Malah, malam istimewa ini adalah antara malam yang sering dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam semasa bulan Ramadan. Oleh itu, malam Lailatul Qadar adalah waktu yang mustajab untuk berdoa.
Ummum Mu’minin Aisyah RA bersabda: “Aku bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, menurutmu apa yang sebaiknya aku ucapkan jika aku menemukan malam Lailatur Qadar? Baginda bersabda: Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni [Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan menyukai sifat pemaaf, maka ampuni”] – Hadis riwayat Tirmidzi.
5. Sepertiga malam
Selalunya, waktu sepertiga malam ini digunakan untuk solat tahajud. Sepertiga dari malam terakhir adalah waktu yang penuh keberkatan kerana Allah SWT turun ke syurga dunia dan mengabulkan setiap doa hamba-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: “Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman: Siapa sahaja yang berdoa kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu, nescaya Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepadaKu, nescaya akan Aku ampuni.” – Hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim.