Isu Rohingya Didakwa Bina Flat 4 Tingkat Di Sungai Tekali, Apa Yang Berlaku Sebenarnya?

Tengok binaannya pun dah pelik.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Baru-baru ini tular video memaparkan kediaman bertingkat didakwa dibina Etnik Rohingya di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor

Video tular terbabit memaparkan kediaman tersebut dengan laluan koridor ditutup bumbung zink, struktur dinding batu bata yang tidak disimen dengan sempurna, di samping sambungan paip air dan wayar elektrik yang mencurigakan.

Pendedahan itu dilakukan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau dikenali Pak Azad yang melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan.

Menerusi laporan Harian Metro, dia bersama pembantu peribadinya telah tersesat selepas terlepas simpang dan mengambil laluan alternatif sebelum ternampak struktur bangunan bertingkat berkenaan.

"Saya dan pembantu peribadi memang terkejut sebab tak pernah nampak struktur seperti itu.

"Pada mulanya saya sangka mungkin penempatan golongan kurang berkemampuan, tetapi apabila dilihat dari dekat, reka bentuk dan keadaan binaannya nampak pelik.

"Ia seolah-olah dibina sendiri secara berperingkat oleh penghuni di situ. Sebab itu saya rakam video berkenaan," katanya.

Isu berpunca daripada tindakan pemilik tanah yang membenarkan warga asing membina kediaman di lokasi itu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata dalam satu kenyataan, isu terbabit pernah dibangkitkan beliau dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi berkaitan.

"Pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi sudah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan. Namun, punca utama ialah tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik.

"Itu bukan saja melanggar peraturan yang ditetapkan, malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu itu secara berkesan. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dan tindakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah antara faktor utama yang menyumbang kepada berlarutan isu ini.

"Atas sebab itu, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka," katanya.

Menurut Johan, beliau akan membangkitkan semula perkara itu dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil terhadap semua pihak yang terbabit.

Selain itu, berdasarkan maklumat dikongsikan beliau, dipercayai seramai 400 individu etnik Rohingya membuat dan membina perkampungan di lokasi sama.

SAYS.com

Datuk Johan Abd Aziz ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Hulu Langat tahun lalu.

Image via Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz (Facebook)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik