Kalendar Perlumbaan Malaysia Sah Dilanjutkan, MotoGP Kekal Di Sepang Sehingga 2031
Malaysia telah menganjurkan MotoGP sejak tahun 1991.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
MotoGP akan kekal dianjurkan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 2027 hingga 2031, susulan kontrak baharu yang diluluskan oleh Kerajaan Malaysia
Menurut MotoGP, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata Kerajaan telah memberikan kelulusan penuh pada Mesyuarat Kabinet pada 15 April 2026 untuk pembaharuan MotoGP Malaysia dari 2027 hingga 2031.
"Pembaharuan ini melangkaui usaha untuk memastikan tempat Malaysia dalam kalendar global MotoGP.
"Ia mencerminkan komitmen kami untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan permotoran terkemuka di samping mewujudkan peluang melalui pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat dan pengembangan industri.
"Lebih penting lagi, MotoGP Malaysia telah menjadi platform yang menyatukan rakyat Malaysia, menguatkan rasa bangga negara kita dan terus berdiri sebagai acara sukan antarabangsa terpanjang di Malaysia sejak edisi pertamanya pada tahun 1991," katanya.

Menteri Belia Dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (kiri).
Image via BernamaMalaysia dilihat memiliki peminat sukan permotoran yang besar
Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta menambah, Malaysia merupakan pasaran penting untuk MotoGP, di mana ia memiliki peminat yang kuat dan telah menyaksikan impak ekonomi positif MotoGP meningkat tahun ke tahun.
"Kini, kami menyasarkan untuk mengembangkan kedua-duanya secara eksponen. Sepang merupakan gelanggang yang hebat untuk sukan ini.
"Perlumbaan hebat, semangat tempatan dan tarikan antarabangsa mewujudkan acara yang tidak dapat dilupakan setiap tahun di Malaysia dan kami berharap dapat kembali sehingga 2031," katanya.
Grand Prix Malaysia 2026 akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, peminat boleh mendapatkan tiket di SINI.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via