Kecuaian Prosedur Berkhatan, Mahkamah Perintah Ganti Rugi RM359,000 Diberi Kepada Mangsa
Kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan serius pada kemaluannya sehingga kehilangan sebahagian besar kulit zakar, parut kekal.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu memerintahkan sebuah klinik swasta membayar ganti rugi lebih RM359,000 kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan keluarganya, berhubung kecuaian prosedur khatan tiga tahun lalu
Menerusi laporan Free Malaysia Today, Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh membenarkan tuntutan balas yang difailkan ibu kanak-kanak itu, 36, terhadap Hijraa Healthcare Sdn Bhd selepas memutuskan bahawa wanita berkenaan berjaya membuktikan tuntutan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah memerintahkan klinik itu membayar RM300,000 sebagai ganti rugi am dan ganti rugi khas sebanyak RM59,122.90.
Ibu kanak-kanak terbabit memulakan tuntutan balas selepas Hijraa Healthcare memfailkan saman fitnah terhadapnya dan seorang lagi pengguna Facebook berhubung ulasan buruk terhadap klinik berkenaan.
Saman fitnah terhadap kedua-dua wanita itu ditolak selepas mahkamah mendapati ulasan tersebut berdasarkan fakta dan pengalaman mereka dengan klinik berkenaan.

Dalam tuntutan balas, si ibu memaklumkan anak lelakinya menjalani prosedur berkhatan di klinik terbabit, kemudiannya mengalami pendarahan tanpa henti pada Februari 2023
Prosedur itu dilakukan oleh dua doktor bertugas dan si ibu mendakwa mereka tidak pernah menasihatinya mengenai risiko yang mungkin dihadapi anaknya.
Kanak-kanak tersebut kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, dan pembedahan dilakukan bagi membetulkan kerosakan yang didakwa diakibatkan oleh kedua-dua doktor berkenaan.
Doktor dari hospital kerajaan memberi keterangan bahawa adalah tidak normal bagi seseorang mengalami pendarahan tanpa henti selepas prosedur berkhatan. Mereka turut berkata tidak dapat dipastikan sama ada keadaan itu akan menjejaskan fungsi seksual pada masa depan.

Mahkamah memutuskan bahawa kedua-dua doktor yang melakukan prosedur berkenaan cuai
Aklima berkata, kanak-kanak itu telah mengalami kecederaan serius pada alat sulitnya, yang membawa kepada kehilangan kulit zakar yang ketara, pembentukan parut kekal, serta memerlukan rawatan hospital yang berpanjangan dan prosedur pembedahan lanjutan termasuk full thickness skin grafting.
Katanya lagi, fungsi zakar daripada segi seksual masih belum dapat ditentukan memandangkan mangsa masih kanak-kanak dan penilaian hanya boleh dibuat apabila pesakit sudah baligh serta dewasa.
Tambahnya, risiko masa depan yang belum diketahui sama ada zakar tersebut akan memberikan fungsi seksual secara normal atau tidak akan menyebabkan kanak-kanak itu dan keluarganya akan berada dalam tidak pasti dalam satu jangka masa dalam situasi kurang menyenangkan serta akan menjejaskan keadaan psikologi mereka sekeluarga.
Hakim berkenaan menambah bahawa saman fitnah yang difailkan terhadap si ibu dan pengguna Facebook tersebut merupakan satu bentuk tekanan yang bertujuan menghalang tuntutan kecuaian perubatan yang dikemukakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via