Tuntutan Kerja Perlu Seksa & Bunuh Anjing, Lelaki Ini Insaf Selepas Anak Dilahirkan Cacat
Kita sedia maklum, setiap perbuatan jahat itu pasti akan ada balasannya.
Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada semua makhluk yang bernyawa, bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang
Bahkan dari riwayat Abi Musa al-Asyari berkata, "Sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda: Kamu tidak dianggap beriman sehingga kamu saling menyayangi. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua adalah penyayang. Rasulullah SAW bersabda: Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah kasih sayang di antara kalian sahaja bahkan kasih sayang kepada seluruh manusia dan seluruh makhluk." (HR Tobrani No 13671)
Daripada ayat itu kita tahu bahawa tuntutan menyayangi bukan hanya kepada sesama Muslim malah kepada orang bukan Islam juga seluruh makhluk yang lain.
Meskipun begitu, boleh dikatakan hampir setiap hari pasti ada sahaja berita atau posting tentang kekejaman haiwan berlaku. Haiwan yang tidak berdosa ini seringkali menjadi mangsa manusia yang tidak berperikemanusiaan.
Dan kita sedia maklum, setiap perbuatan jahat itu pasti akan ada balasannya.
Menerusi satu perkongsian viral di laman sosial baru-baru ini, seorang lelaki telah menjelaskan bagaimana tindakan dia menyeksa anjing akhirnya telah menjejaskan kehidupannya
Perkongsian tersebut sebenarnya telah dirangka oleh seorang bekas pekerja di sebuah Majlis Perbandaran dan dikongsikan semula melalui laman Instagram Yolo Pets Foundation.
Berdasarkan penulisannya, di dalam pekerjaannya sebelum ini, lelaki terbabit ditugaskan untuk menangkap dan menghapuskan binatang liar dan terbiar selepas menerima aduan dari orang awam.
Bagaimanapun, ternyata pekerjaan itu telah memberikan kesan yang sangat teruk kepada dia serta keluarganya semenjak dia mula bekerja dengan majlis perbandaran itu dua tahun lalu.
Baca perkongsian penuh di bawah:
Aku bekerja di sebuah Majlis Perbandaran (tak perlu didedahkan). Tapi aku di Bahagian Pengurusan Sisa Pepejal. Lebih khusus, kerja menangkap anjing dan kucing. Bila ada orang lapor, aku dan team akan ke tapak lokasi, jerut dan tangkap anjing masuk lori.
Memang banyak aduan dibuat oleh orang Melayu, tetapi aku buat keputusan berhenti kerja sebab macam-macam yang terjadi sejak aku kerja bunuh anjing ini.
Memang majlis beritahu anjing di 'Put To Sleep' (PTS). Tapi kau orang pernah pantau bila veterinar datang PTS anjing ditangkap ini? Mana NGO? Semua tak ambil peduli. Jadi, majlis nak cut cost, tindakannya bunuh.
Dalam 2 tahun aku kerja tangkap, pukul dan bunuh anjing. Macam-macam ujian yang aku terima. Semua bermula bila anak aku lahir cacat.
Anak aku cacat. Aku sukar hendak terima. Keadaan pernafasan anak aku macam anjing yang aku selalu jerut.
Aku ikat dan gantung anjing nie sampai mati. Ada mata terkeluar. Ada kami pukul dengan kayu sampai mati. Anjing ini meronta tapi kami balun tanpa perikemanusiaan. Aku hanya ikut arahan. Aku hanya bekerja makan gaji. Aku terpaksa walau tidak sampai hati.
Tapi ia terjadi pada aku. Pada isteri aku. Isteri aku pengsan tengok keadaan anak kami. Leher anak kami ditebuk. Seksa ya Allah. Bunyinya sama seperti nafas anjing yang aku bunuh.
Lapan bulan anak aku terseksa. Lapan bulan aku dibalas atas semua ini.
Bila anak aku dilahirkan cacat seperti itu, aku jadi insaf dan sedar serta-merta. Isteri aku pun suruh aku berhenti dari terus melakukan pekerjaan itu yang zalim.
Keadaan anak aku memang kritikal. Selama lapan bulan dia terseksa, cucuk sana sini, tebuk sana sini pada waktu dia baru berusia dua bulan. Bayangkan, mulutnya berbuih, nafas berbunyi tersekat.
Sebab aku ingat anak anjing pun kami tak benarkan hidup, kami bunuh walaupun baru dua hari lahir. Aku memang insaf, Tuhan ambil anak aku selepas lapan bulan terseksa.
Selepas anak aku meninggal dunia, aku berhenti kerja. Aku tidak mahu lagi mencari rezeki dengan cara ini. Cukuplah kita menipu orang awam kononnya anjing-anjing terbiar ini dihantar ke hutan bagai. Semua itu tipu belaka.
Kepada kawan-kawan aku yang masih naik lori tangkap anjing, bertaubatlah. Berilah sumber duit yang halal kepada keluarga dan anak-anak kita. Aku lebih rela tak ada kerja seperti sekarang dari pagi-pagi Jumaat dah bunuh anjing.