KK Mart Bakal Jadi ‘Port Selamat’ Orang Awam Ketika Kecemasan – Polis KL
Cawangan KK Mart turut dicadangkan sebagai tempat persinggahan anggota polis ketika menjalankan rondaan atau operasi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kedai serbaneka KK Mart di sekitar Kuala Lumpur bakal dijadikan sebagai 'titik selamat' (safety point) bagi orang awam yang memerlukan perlindungan sementara ketika berdepan situasi kecemasan
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, cadangan itu merupakan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sektor swasta dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan serta pencegahan jenayah di ibu negara.
Menurut beliau, premis KK Mart boleh menjadi lokasi perlindungan sementara bagi orang awam yang berdepan ancaman atau gangguan sementara menunggu ketibaan anggota polis.
"Sebelum ini, konsep safety point pernah dilaksanakan bersama stesen minyak, namun kali ini kita mahu memperluaskannya melalui rangkaian KK Mart.
"Pihak polis berhasrat untuk melaksanakannya dalam masa terdekat sebaik sahaja segala proses teknikal dan kelulusan dimuktamadkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus
Image via Sinar HarianSelain menjadi lokasi perlindungan sementara, cawangan KK Mart turut dicadangkan sebagai tempat persinggahan anggota polis ketika menjalankan rondaan atau operasi
Fadil berkata, kerjasama itu juga berpotensi diperluaskan menerusi perkongsian akses kepada sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis KK Mart.
Katanya, rangkaian berkenaan mempunyai lebih 1,100 cawangan di seluruh negara, dengan setiap premis dilengkapi kira-kira 16 kamera CCTV yang dipantau secara berpusat.

Ini bermakna lebih 17,000 kamera CCTV berpotensi digunakan sebagai sumber maklumat tambahan bagi membantu polis dalam siasatan.
"Sekiranya dihubungkan melalui sistem pengecaman wajah dan pengecaman identiti, kita boleh meneliti pergerakan suspek serta mengenal pasti lokasi yang pernah dikunjungi mereka dengan lebih pantas," katanya.
Menurut Fadil, penggunaan teknologi berkenaan bukan sahaja dapat membantu siasatan kes jenayah, malah membuka ruang kepada penglibatan sektor swasta dalam meningkatkan tahap keselamatan komuniti.
Bagaimanapun, katanya, cadangan berkenaan masih akan diperhalusi bersama pihak KK Mart dan agensi berkaitan, terutama bagi memastikan aspek keselamatan, privasi serta pematuhan undang-undang diberi keutamaan sebelum dilaksanakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via